Untung bersih TM suku pertama melonjak 113.4 peratus

[email protected]

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi suku pertama tahun kewangan 2021 melonjak 113.4 peratus kepada RM325.5 juta berbanding RM152.5 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu .

Pendapatan TM juga meningkat 9.9 peratus kepada RM2.81 bilion berbanding RM2.56 bilion suku sama 2020 disebabkan peningkatan pendapatan di semua unit perniagaannya iaitu unifi, TM ONE dan TM WHOLESALE.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar, berkata inisiatif penambahbaikan kos secara berterusannya juga menunjukkan hasil dengan nisbah jumlah kos operasi (peratusan kos kepada hasil) yang lebih baik pada 79.7 peratus berbanding 88.1 peratus.

Beliau berkata, ia sekaligus menyokong pertumbuhan pendapatan di samping mengoptimumkan kecekapan kos merentasi kos langsung, tenaga kerja, kos operasi lain serta susut nilai dan amortisasi.

TM katanya berjaya membuka tahun ini dengan momentum positif dan permulaan kukuh bagi Program Transformasi TM Baharu 2021-2023, sekaligus merekodkan prestasi tahun ke tahun yang mantap biarpun dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

“TM mengulangi peranan peneraju dalam mempercepatkan Digital Malaysia menerusi sambungan digital, infrastruktur digital dan tenaga kerja digital.

“Sebagai pemacu penting, kumpulan bersedia memainkan peranan utama dalam pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan merealisasikan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dengan memanfaatkan

sambungan, infrastruktur digital dan penyelesaian inovatif TM yang komprehensif.

“TM dijangka akan menepati sasaran 2021 yang telah diumumkan pada Februari lalu iaitu pendapatan mencatatkan pertumbuhan mendatar atau satu digit peringkat rendah, pendapatan sebelum faedah dan cukai melebihi RM1.6 bilion dan panduan CAPEX adalah antara 14 hingga 18 peratus daripada pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Imri berkata, program Transformasi TM Baharu 2021-2023 adalah berpaksikan kepada 40+ Program-program Nilai yang memberi fokus kepada pengalaman pelanggan, pendapatan, kecekapan kos dan organisasi yang bersedia untuk masa hadapan.

Beliau berkata program itu menunjukkan permulaan kukuh dengan pertumbuhan suku tahun merentasi semua unit perniagaan dan operasi yang lebih baik.

Katanya, unifi mengekalkan momentum kukuh dan peneraju konvergens dengan pertumbuhan jumlah pelanggan jalur lebar tetap sebanyak 11.9 peratus kepada 2.44 juta, pertambahan pelanggan jalur lebar tetap untuk suku tahun yang tertinggi iaitu sebanyak 110,000.

Peningkatan ini katanya dipacu oleh pertumbuhan jumlah pelanggan unifi.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, permintaan terhadap jalur lebar tetap meningkat dan menyebabkan unifi berjaya merebut permintaan ini dengan penawaran konvergen yang menarik sekaligus memberikan nilai

terbaik, mudah alih dan kandungan menerusi unifi Plus Box.

“Pertumbuhan ini juga disokong oleh bilangan port dipasang yang lebih tinggi dan pelaksanaan rangkaian fiber yang lebih luas di bawah program JENDELA, di mana TM telah melepasi sasaran suku pertama dengan mencatatkan 141 peratus daripada komitmennya.

“TM juga sedang memperluaskan kumpulan kontraktor rangkaiannya bagi meningkatkan kapasiti program perluasan fiber dalam tahun ini.

Imri berkata, TM ONE juga terus memacu perjalanan transformasi digital pelanggan perusahaan dan sektor awam dengan himpunan lengkap sambungan, pusat data, awan, keselamatan siber dan penyelesaian pintar.

Beliau berkata, TM WHOLESALE pula kukuh menjadi penyedia infrastruktur rangkaian pilihan yang menyokong

industri teknologi dan meletakkan Malaysia sebagai hab digital dengan permintaan positif daripada syarikat telekomunikasi tempatan dan antarabangsa serta pengendali teknologi.

Di peringkat domestik katanya, TM sebagai rakan infrastruktur terkemuka untuk perkhidmatan pukal Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi, memanfaatkan rangkaian unggulnya di seluruh negara untuk menyokong pertumbuhan jalur lebar industri.

“Bagi meletakkan Malaysia sebagai hab digital ASEAN, TM telah memperkukuh ekosistem kerjasamanya dengan pengendali antarabangsa dan syarikat berskala hiper yang mencatatkan hasil lebih tinggi bagi Perkhidmatan Data Antarabangsa berbanding tahun lalu.

“TM meluaskan portfolio pelanggan pusat datanya dengan lebih banyak syarikat berskala-hiper utama dari Asia. Amerika Syarikat menempatkan data di satu-satunya pusat data teras berkembar bertaraf ‘Tier 3’ di negara ini iaitu di Iskandar Puteri (IPDC) dan Lembah Klang (KVDC),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.