UPM nafi PhD tak diiktiraf di luar negara

[email protected]

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) menafikan dakwaan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dikeluarkannya tidak diiktiraf di luar negara.

UPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan sudah mendapat penganugerahan status swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2010.

Katanya, universiti berkenaan sudah diberi status autonomi untuk melaksanakan proses akreditasi ke atas semua program akademik yang ditawarkan di peringkat pra dan pasca siswazah.

“Malah, pihak universiti juga sudah menjalankan proses akreditasi bagi semua program pasca siswazah Master Sains dan PhD serta mendapatkan kelulusan Akreditasi Penuh oleh Senat UPM pada 12 Disember 2013 untuk semua bidang pengajian.

“Bagi semua bidang pengajian itu, UPM sudah mendaftarkan program Master of Science dengan kod MQA/SWA/0400 dan Doctor of Philosophy dengan kod MQA/SWA/0399 di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) yang diselia MQA.

“Kaedah penamaan satu program untuk semua bidang pengajian ini adalah mengikut praktis di peringkat antarabangsa dan dimaklumkan kepada pelajar semasa minggu orientasi,” katanya.

UPM menjawab dakwaan bekas graduannya, Saed Jnaidi dari Palestin yang mendakwa PhD yang diterima dari universiti awam itu tidak diiktiraf di luar negara.

PhD program Komunikasi Massa itu diperolehnya selepas menamatkan pengajian di UPM pada 2019, namun didakwa belum diakreditasi Kerajaan Malaysia ketika dia memohon visa untuk membolehkannya mendapat tahap orientasi satu tahun di Belanda.

UPM turut menegaskan skrol yang diterima graduan itu tertulis sebagai Doctor of Philosophy saja seperti yang bertarikh 9 April 2020 iaitu bukan PhD Komunikasi Massa seperti yang didakwa.

“Program Doctor of Philosophy adalah program yang sudah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399,” katanya.

Mengulas dakwaan Pusat Jaminan Kualiti (CQA) UPM belum menghantar senarai program ke MQA untuk pendaftaran, UPM menjelaskan senarai program yang akan dihantar itu untuk pendaftaran bidang baru Sarjana PhD mengikut National Education Code (NEC).

“Namun, untuk pelajar berkenaan sekali lagi ditekankan pendaftaran program beliau adalah program yang sudah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.

“Pihak universiti sentiasa membuat penambahbaikan berterusan bagi semua program pra dan pasca siswazah yang ditawarkan mengambil kira perkembangan semasa serta maklum balas pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.