Utamakan vaksinasi pekerja sektor ekonomi

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memberi keutamaan vaksinasi kepada pekerja sektor ekonomi yang dibenarkan keluar bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengurangkan angka kluster dalam komuniti ketika ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata memandangkan kluster tempat kerja antara penyumbang kepada penularan jangkitan dalam komuniti, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi mengelak lebih ramai dijangkiti.

“Saya cadangkan jika kerajaan lihat sektor ekonomi sebagai penyumbang utama kepada negara, mengapa tidak lindungi mereka (melalui vaksinasi) supaya dapat kurangkan jumlah kluster dalam komuniti.

“Dalam bidang kesihatan pekerjaan, kebanyakannya memberi tumpuan mengenai kerja, tetapi lupa kepada komuniti dan keluarga.

“Bayangkan bagi kluster tempat kerja, ia boleh merebak kepada setiap pekerja yang keluar, mereka balik rumah dan menjangkiti ahli keluarga, sekali gus akan memberi kesan kepada komuniti secara keseluruhannya,” katanya bercakap pada program Coronavirus Vaccination Awareness anjuran UPM, yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom, di sini, hari ini.

Malina berkata, dalam keadaan sistem kesihatan yang kian kritikal, kerajaan disarankan memberikan suntikan vaksinasi kepada pekerja di lapangan.

“Mudahkan dan percepatkanlah untuk pekerja dalam sektor ekonomi yang terpaksa keluar bekerja ketika ini.

“Misalnya, jika kerajaan tawarkan lagi vaksinasi secara sukarela seperti bagi vaksin AstraZeneca, pastikan individu yang dapat adalah mereka yang bekerja di luar, sementara yang diarahkan Bekerja dari Rumah (BDR) tidak perlu berebut dan boleh menunggu mengikut fasa ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat memastikan kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan mengurangkan isu birokrasi bagi memastikan tidak ada individu tercicir dan memastikan negara mencapai imuniti kelompok.

“Kita perlukan sekurang-kurangnya 40 peratus rakyat divaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, namun kerajaan menyasarkan 80 peratus bagi memastikan kedudukan kita lebih terjamin dan selamat.

“Apabila angka divaksinasi sudah menjangkau 40 peratus, baru kita dapat lihat perubahan kepada angka kes aktif dan kes baharu COVID-19.

“Buat masa ini, angka divaksinasi baru tiga peratus, jadi kita perlukan 37 peratus lagi sekurang-kurangnya dan ia boleh direalisasikan melalui program vaksinasi yang lebih tangkas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.