Vaksin: Pengamal media sebagai keutamaan tanda pengiktirafan

JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin membuktikan pengiktirafan terhadap kumpulan itu atas fungsinya bersama-sama negara memerangi pandemik COVID-19.

Menyambut baik langkah itu, Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak, berkata pengumuman berkenaan amat bertepatan dengan fungsi petugas media selaku antara kumpulan barisan hadapan yang turut berhadapan dengan risiko jangkitan COVID-19 ketika melaksanakan tugasan melaporkan berita di lapangan.

“Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula, Kelab Media Johor telah mengambil inisiatif awal dengan mengumpulkan butiran serta nama petugas media dan seterusnya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Justeru susulan pengumuman ini, Kelab Media Johor sekali lagi bersedia memberikan kerjasama kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) agar proses suntikan vaksin kepada petugas media Johor dapat disegerakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Seramai 130 pengamal media daripada 18 organisasi berdaftar dengan Kelab Media Johor ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa kerajaan mempercepat langkah vaksinasi kepada petugas media, terutama selepas ramai daripada mereka dikhabarkan telah dijangkiti COVID-19.

“Mereka adalah petugas barisan hadapan dan bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada rakyat. Tanggungjawab yang mereka galas mampu mengolah persetujuan umum,” katanya dalam hantaran menerusi Twitternya hari ini.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengumumkan seramai 5,867 petugas media daripada 114 agensi media berdaftar, bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat dan janji temu akan diberikan secepat mungkin selepas CITF menerima butiran petugas media. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.