Vaksin penghuni rumah orang tua sekarang, Putrajaya diberitahu

Orang tua di rumah penjagaan perlu divaksin serta-merta, kata persatuan pengendali rumah penjagaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah persatuan pengendali rumah penjagaan menggesa kerajaan menunjukkan sikap prihatin terhadap warga emas dengan berkata, ia kecewa atas kegagalan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan vaksinasi dalam kalangan orang tua di rumah penjagaan.

Setiausaha Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Malaysia, Muntoh Fong, memuat naik satu klip video di Facebook dengan berkata, beliau amat bimbang mengenai masa depan rumah penjagaan berikutan peningkatan kes Covid-19 melibatkan mereka.

Semalam, tiga rumah penjagaan di Pulau Pinang ditutup melibatkan kira-kira 200 penghuni selepas 36 kes Covid-19 dikesan.

Fong berkata, beliau kecewa kerana ramai individu yang tidak termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi telah divaksin, tetapi penghuni di rumah penjagaan ketinggalan.

Muntoh Fong.

Beliau berkata, pengendali rumah penjagaan dianggap sebagai petugas barisan hadapan, tetapi sehingga kini tiada maklumat mengenai rancangan pemvaksinan melibatkan mereka.

“Kami terus mendapat pesanan daripada kerajaan supaya pusat penjagaan mendaftarkan warga emas untuk divaksin.

“Kami telah melakukannya, tetapi tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, persatuan menawarkan bantuan kepada KKM dalam menjalankan proses vaksinasi, tetapi diberitahu ia tidak diperlukan.

Beliau juga mendakwa KKM menarik balik 200 daripada 300 jururawat di rumah penjagaan bagi membantu tugas kecemasan dalam mengendalikan wabak itu.

“Ini sangat mengganggu rumah penjagaan dan pada masa ini lebih 30 daripadanya dijangkiti Covid-19, tetapi kami bersyukur kerana kadar kematian melibatkannya adalah rendah. Ini kerana kami bekerja keras dengan sumber yang kami miliki dalam menjaga penghuni,” katanya.

Fong berkata, ramai anggota keluarga penghuni rumah penjagaan juga kecewa kerana prosedur operasi standard tidak membolehkan mereka bertemu dengan saudara mereka di situ “walaupun jika mereka meninggal dunia”.

Katanya, “saya tidak tahu berapa lama lagi kami dapat bertahan”, sekali gus menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan sekarang atau dilihat tidak prihatin terhadap golongan warga emas.

FMT cuba mendapatkan respons daripada KKM.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.