Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

Vaksinasi di pusat jagaan warga emas sedang berjalan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan memastikan semua penghuni dan penjaga pusat jagaan warga emas divaksin secepat mungkin, bagi memastikan kumpulan berisiko itu dilindungi daripada COVID-19.

Jaminan itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dalam pertemuan secara maya dengan wakil Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Se-Malaysia (MyAgeCOpe), hari ini.

Presiden MyAgeCOpe, Delren Terrence Douglas, berkata Khairy memaklumkan usaha memberi vaksin kepada golongan itu di pusat jagaan sudah bermula tiga hari lalu di empat negeri iaitu Kelantan, Perak, Pahang dan Sarawak.

“Khairy maklumkan sejumlah 365 pusat jagaan berlesen, 161 pusat jagaan tidak berlesen dan 22 pusat jagaan kerajaan sudah berdaftar untuk diberikan vaksin dan sebolehnya penghuni dan penjaga akan divaksin di pusat jagaan masing-masing.

“Proses ini bermula di empat negeri dahulu, di mana pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) akan pergi ke pusat jagaan untuk dapatkan jumlah yang boleh divaksin, sebelum suntikan diberikan antara seminggu atau dua minggu kemudian.

“Namun, Khairy ketengahkan mengenai kepentingan untuk 1,300 pusat jagaan tidak berlesen yang ada kira-kira 22,000 penghuni dan penjaga, untuk tampil mendaftar untuk menerima vaksin supaya semua dilindungi daripada COVID-19.

“Khairy memberi jaminan kepada MyAgeCOpe bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadap mereka, termasuk jika mereka menggajikan penjaga warga asing tanpa permit bekerja, kerana keutamaan ketika ini untuk menyelamatkan nyawa,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan MyAgeCOpe menzahirkan kekecewaan apabila KKM tidak berhubung dengan mereka selepas persatuan yang mewakili 1,700 rumah jagaan seluruh negara itu, menawarkan bantuan untuk mempercepat proses vaksinasi warga emas di pusat jagaan.

Mengulas perkara itu, Delren berkata, Khairy menjelaskan KKM memang sudah merencana inisiatif memvaksin warga emas di pusat jagaan, namun terdapat isu komunikasi menyebabkan tiada pihak berhubung dengan MyAgeCOpe.

Secara keseluruhan, kata Delren, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan dan komitmen dinyatakan Khairy dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam hari ini.

“Kami menyatakan komitmen untuk membantu kerajaan memastikan 1,300 pusat jagaan tidak berlesen, untuk berdaftar menerima vaksin, sama ada secara terus dengan KKM dan MOSTI, atau melalui kami.

“Khairy turut memberi jaminan jika ada agensi penguatkuasaan yang mengambil tindakan terhadap pusat jagaan ini, kami boleh maklumkan terus kepadanya,” katanya.

Berhubung proses vaksinasi warga emas di pusat jagaan, Delren berkata, Khairy memaklumkan vaksin AstraZeneca akan ditawarkan kepada mereka.

“Jika penghuni tak mahu, mereka boleh minta vaksin Pfizer, namun mungkin lambat sedikit iaitu sekitar sebulan atas isu logistik kerana kawalan suhu penting untuk vaksin Pfizer bagi memastikan ia tidak tercemar dalam proses penghantaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.