Varian India dikesan di 44 negara: WHO

GENEVA:Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, varian COVID-19 yang menyebabkan tercetusnya lonjakan jangkitan di India ditemui di puluhan negara seluruh dunia.

Agensi kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (PBB) berkata, varian B.1.617 yang pertama kali dijumpai di India pada Oktober tahun lalu, dikesan dalam lebih daripada 4,500 sampel yang dimuat naik ke pangkalan data akses terbuka daripada 44 negara di semua enam wilayah WHO.

“Dan WHO menerima laporan pengesanan daripada lima negara lagi,” katanya dalam epidemiologi mingguan mengenai wabak terbabit yang dikemas kini.

Di luar India, ia menyatakan bahawa Britain melaporkan jumlah kes terbanyak yang disebabkan oleh varian berkenaan.

Awal minggu ini, WHO mengisytiharkan B.1.617 dengan tiga sub-garis keturunan serta mutasi dan ciri yang sedikit berbeza sebagai ‘varian yang dibimbangi’.

Berikutan itu, ia dimasukkan ke dalam senarai bersama tiga varian COVID-19 lain yang pertama kali dikesan di Britain, Brazil dan Afrika Selatan.

Varian terbabit dilihat lebih berbahaya daripada versi asal virus kerana ia lebih mudah ditularkan, mematikan atau kebal terhadap beberapa perlindungan vaksin.

WHO hari ini menjelaskan, B.1.617 dimasukkan ke dalam senarai kerana ia lebih mudah menular daripada virus asal, yang menunjukkan peningkatan pesat dalam pelbagai negara.

WHO juga menunjukkan bukti awal bahawa varian itu kebal terhadap rawatan dengan antibodi monoklonal Bamlanivimab, dan kajian awal makmal menunjukkan pengurangan peneutralan yang terhad oleh antibodi.

Ia menekankan bahawa kesan keberkesanan vaksin terhadap varian itu mungkin terhad.

WHO berkata, penyebaran B.1.617, bersama varian lain yang lebih mudah berjangkit adalah salah satu daripada beberapa faktor yang mendorong lonjakan dramatik kes dan kematian baharu di India. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.