Warga emas positif Covid-19 dicari polis

[email protected]

Kinabatangan: Seorang warga emas yang didapati positif Covid-19 dicari polis selepas melarikan diri ketika hendak dibawa ke hospital dalam kejadian di Kampung Kuala Tongod, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki berusia 69 tahun berkenaan masih belum dikesan sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbahaarin Ismail berkata, sepasukan petugas Klinik Kesihatan Tongod ke kampung berkenaan untuk membuat makluman dan persediaan kepada individu yang disahkan positif Covid-19 untuk dibawa ke Hospital Sandakan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, petugas kemudiannya membuat tinjauan ke rumah lelaki berkenaan dan mendapati warga emas itu sedang mengemaskan barang di luar rumahnya.

“Petugas beranggapan lelaki itu sedang bersiap untuk dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun sebaik petugas kembali semula ke rumah lelaki itu, didapati rumahnya dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni.

“Petugas kesihatan kemudian pulang semula ke klinik dan menunggu warga emas terbabit. Namun dia tidak muncul dan belum dikesan hingga saat ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, perbuatan lelaki itu dikhuatiri menjangkiti orang awam sekiranya terus melarikan diri.

“Susulan itu, usaha mengesan lelaki itu dijalankan oleh polis dan petugas kesihatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) / Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana keengganan seseorang yang dijangkiti mematuhi apa-apa arahan pemindahan,” katanya.

Menurutnya, polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi di talian 089-561890 (Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.