WHO beri amaran harga melampau vaksin jualan orang tengah

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberikan amaran berhubung bahaya membeli vaksin mahal daripada orang tengah, lapor Xinhua.

WHO sekali gus mengingatkan negara serata dunia supaya membeli vaksin diperakui agensi itu, selain mengenal pasti asal usul produk terbabit.

“Kami sedar wujud kebimbangan berhubung vaksin lain… dengan orang tengah menjualnya (satu vaksin) pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga sebenar jualan pengeluar,” kata Penolong Ketua Pengarah WHO bagi Akses Ubat-ubatan dan Produk Kesihatan, Mariângela Batista Galvão Simão, pada sidang media.

Isu peranan perantara untuk membeli vaksin, dibahaskan baru-baru ini, susulan dakwaan orang tengah di Emiriah Arab Bersatu dikesan menjual vaksin Sputnik kepada Ghana dan Pakistan pada harga dua kali ganda berbanding harga asal.

Mengulas lanjut, Simão berkata, negara harus membeli secara langsung daripada pengilang atau ‘menghubungi pengilang bagi memastikan bahawa perantara itu adalah sah.’

“Ada banyak produk berkaitan COVID-19 yang tidak menepati piawaian dan palsu, dikomersialkan di luar sana. Oleh itu, anda perlu mengetahui asal usul produk terbabit,” katanya.

Simao menjelaskan, adalah penting untuk memvaksin orang ramai dengan produk ‘diperakui’ oleh WHO.

“WHO menasihati negara serata dunia agar menggunakan vaksin yang sudah disenaraikan untuk tujuan kecemasan,” katanya merujuk Senarai Penggunaan Kecemasan yang digunakan agensi itu untuk meluluskan vaksin baharu.

Setakat ini, lapan vaksin COVID-19 telah diluluskan WHO untuk kegunaan kecemasan, termasuk dua vaksin China – Sinopharm dan Sinovac yang diedarkan ke beberapa negara seluruh dunia. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.