Wisma Putra gesa pemilik IG bantu kesan ‘Dr Nur’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Wisma Putra meminta individu serta pemilik akaun Instagram (IG) @iesya_toh dan @nurhelizahelmi segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan ‘Dr Nur’.

Ia susulan dakwaan mengenai perkongsian yang tular di media sosial berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai ‘Dr Nur’ oleh pihak Israel.

Wisma Putra dalam kenyataan malam ini, berkata mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr Nur’ turut digesa tampil dan mengemukakan maklumat terbabit melalui e-mel [email protected]

Katanya, kementerian gagal mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa ‘Dr Nur’, sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada beliau.

“Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati tiada individu bernama ‘Dr Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

“Kementerian Luar sudah berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr Nur’, selain mengumpul maklumat berkenaan laporan dikemukakan, termasuk tangkap skrin posting dibuat orang awam berhubung insiden menimpa ‘Dr Nur’.

“Maklumat berkenaan juga sudah dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pegawai perubatan Malaysia dikenali sebagai ‘Dr Nur’ didakwa ditahan tentera Israel dan berada dalam keadaan kritikal akibat ditembak ketika menjalankan misi bantuan perubatan di Palestin.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra juga sudah cuba menghubungi dua individu bernama Dr Aida dan Dr Shafiq, didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr Nur’, namun mereka gagal dihubungi.

“Maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah penting untuk pihak kementerian mencari penyelesaian untuk membantu ‘Dr Nur’. Kementerian sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

“Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu jika rakyat Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan.

“Rakyat Malaysia disaran untuk sentiasa berhubung dengan Perwakilan Malaysia terdekat, jika berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan sebarang bantuan konsular,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.