Warning: fopen(/tmp/alcjlouHTxWd-AlUzrF.tmp): failed to open stream: Disk quota exceeded in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 139

Warning: unlink(/tmp/alcjlouHTxWd-AlUzrF.tmp): No such file or directory in /home/neotizen/public_html/wp-admin/includes/class-wp-filesystem-ftpext.php on line 142

Wujud perundangan khas kawal selia STRA

[email protected]

Sejak penginapan jangka pendek (STRA) diperkenalkan sekitar 2012, pelancong dalam dan luar negara menunjukkan minat luar biasa. STRA memberikan pengalaman pelancongan unik yang turut dipermudahkan dengan pelbagai aplikasi canggih.

Penyedia perkhidmatan pula memberikan pilihan penginapan lebih kompetitif berbanding hotel. Ini turut memberi peluang kepada pemilik rumah memperoleh pendapatan sampingan atau menampung pinjaman bulanan rumah.

Walaupun STRA menjanjikan peluang keemasan buat hos atau ejen seperti juga perkhidmatan perkongsian ekonomi, STRA tidak terlepas daripada isu keabsahan di sisi undang-undang.

Disebabkan elemen kewujudan di luar jangka industri, ciri perkhidmatan unik dan bersifat memudah cara, ia mengundang pelbagai perspektif negatif, terutama daripada pesaing.

Apatah lagi, model perniagaan STRA meletakkan liabiliti tinggi kepada tuan rumah sebagai hos. Hos perlu memastikan mereka mematuhi semua peraturan dan perundangan di lokaliti masing-masing.

Penyedia platform STRA akan menganggap semua syarat perundangan sudah dipatuhi hos. Jika ada sebarang perlanggaran undang-undang tempatan, hos perlu menyelesaikannya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini dilihat seperti berat sebelah kerana liabiliti diletakkan sepenuhnya di bahu hos, sedangkan penyedia perkhidmatan dapat mengembangkan sayap di banyak negara dan mendapat keuntungan dengan risiko rendah.

Buat masa ini, Malaysia tidak memiliki undang-undang khusus mengawal selia STRA. Oleh kerana ia diusahakan di rumah kediaman, sukar untuk pihak berkuasa melarang tuan rumah melakukan urus niaga terbabit di rumah sendiri.

Oleh itu, kawal selia dijalankan PBT atas sebab menjalankan perniagaan tanpa permit sah. Contohnya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenakan kompaun RM250 kepada tiga unit pemilik rumah kerana menjalankan perniagaan tidak berlesen.

Langkah PBT itu juga adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan melindungi kepentingan industri perhotelan.

Di negeri lain, STRA dijalankan di kawasan berstatus komersial biasanya di pangsapuri servis, unit pejabat kecil pejabat rumah (SOHO) dan pejabat kecil pejabat maya (SOVO) tidak akan mendatangkan masalah jika mendapat persetujuan badan pengurusan bersama (JMB).

Di bawah Akta Pengurusan Strata 2013, Seksyen 70 memberikan kuasa kepada JMB menetapkan resolusi atau undang-undang kecil mengelola penggunaan bangunan dengan persetujuan penduduk.

Di samping itu, terdapat banyak laporan tetamu STRA membuat gangguan di kawasan persekitaran. Dalam usaha meminimumkan risiko itu, Akta Pengurusan Strata 2013 dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2015 melarang penginapan jangka pendek di bangunan berstrata.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COB) membenarkan syarikat JMB menggubal undang-undang kecil masing-masing sama ada untuk mengawal selia mahupun melarang penginapan jangka pendek.

COB menerbitkan garis panduan terperinci prosedur harus diikuti JMB dalam melakukan pindaan terhadap undang-undang kecil.

Isu seterusnya ialah cukai pelancongan. Penyedia platform STRA berpusat di luar negara masuk beroperasi di negara ini tanpa membayar cukai berkaitan. Penyedia platform seharusnya mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan perlu membayar cukai pelancongan berkaitan.

Ini dapat memastikan penyedia platform STRA bertanggungjawab terhadap sebarang isu membabitkan perkhidmatan, selain menjana pendapatan kepada ekonomi negara.

Kemasukan STRA secara mengejut dalam industri pelancongan turut dikatakan mengabaikan keperluan pematuhan seperti terpakai kepada hotel.

Oleh itu, STRA perlu dikawal selia kini selari dengan perkembangan di negara seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Ini kerana hos STRA diminta menanggung beban liabiliti tiada had dan tidak setaraf keuntungan diperoleh, sedangkan penyedia platform memperoleh keuntungan dengan risiko rendah.

Bagi melindungi pelancong dan pihak berkepentingan, pelaksanaan kerangka perundangan mengawal selia penyedia platform STRA, adalah tepat pada masanya untuk Malaysia.

Dr Mahyuddin adalah Pensyarah Kanan (UndangUndang Siber), manalaka Norlaili adalah Penyelidik di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.