Yair Lapid bentuk gabungan tubuh kerajaan baharu Israel

BAITULMAQDIS: Pemerintahan Perdana Menteri Israel paling lama, Benjamin Netanyahu, berakhir selepas Ketua Pembangkang, Yair Lapid berjaya membentuk gabungan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Pengumuman itu hadir pada saat akhir selepas Lapid berhasil mendapatkan sokongan pelbagai parti sayap kiri dan kanan untuk menjatuhkan Netanyahu.

“Lapid memaklumkan Presiden Israel, Reuven Rivlin, bahawa beliau berjaya menubuhkan kerajaan.

“Kerajaan baharu ini akan berkhidmat untuk semua rakyat termasuk mereka yang tidak bersamanya, akan menghormati mereka yang menentangnya dan akan melakukan segalanya bagi menyatupadukan masyarakat Israel,” menurut partinya, Yesh Atid dalam satu kenyataan.

Pemimpin parti kanan yang juga jutawan teknologi, Naftali Bennett, 49, akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri pertama sebelum Lapid mengambil alih jawatan itu dalam tempoh dua tahun menerusi sistem giliran.

Lapid, bekas penyampai berita pada Ahad lalu berhasil meraih sokongan penting Bennet yang juga ketua Parti Yamina.

Bagi membentuk blok anti-Netanyahu, Lapid menandatangani perjanjian bersama tujuh parti politik termasuk Parti New Hope yang dipimpin bekas sekutu Netanyahu, Gideon Saar dan Parti Yisrael Beitenu yang dipimpin Avigdor Lieberman.

Gabungan itu turut disertai Parti Blue and White, Parti Buruh dan Parti Meretz.

Parti Raam yang juga parti konservatif Islam Arab-Israel dipimpin Mansour Abbas pula bersetuju menyertai gabungan itu pada Rabu.

“Saya menandatangani perjanjian dengan Yair Lapid supaya beliau boleh menubuhkan kerajaan selepas mencapai kata sepakat berhubung beberapa isu membabitkan masyarakat Arab,” kata Abbas. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.