ZIZAN DUTA PERMAINAN MUDAH ALIH

PELAKON dan pelawak popular, Zizan Razak teruja dilantik sebagai duta Free Fire Malaysia yang pertama.

Free Fire adalah permainan mudah alih yang paling banyak dimuat turun di dunia pada 2019 dan tahun lalu.

Zizan berkata, sebagai pelakon, dia berazam menghiburkan dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi rakyat Malaysia.

“Dengan Free Fire yang menetapkan piawaian untuk permainan kompetitif di Malaysia, saya berharap dapat menyertai gelombang e-sukan yang sedang berkembang pesat dan membawa hiburan yang hebat ini kepada belia tempatan,” katanya.

Zizan dipilih sebagai duta disebabkan permintaan tempatan yang popular. Dia akan menjadi wajah Free Fire di Malaysia bagi tahun ini selain akan muncul dalam pelbagai bahan pemasaran permainan mudah alih itu termasuk iklan TV, filem pendek dan video muzik.

Menurut Zizan, pelantikan itu juga amat bermakna kerana menjadi sebahagian daripada kempen itu Ramadan lalu.

“Ia dapat mengeratkan persahabatan sesama rakan dan kenangan yang mana kita sama-sama memberi sokongan antara satu sama lain. Ia pasti akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan suatu hari nanti,” katanya.

Ramadan lalu, Free Fire yang dihasil dan diterbitkan secara global oleh Garena menyajikan pelbagai aktiviti untuk pemainnya yang dikenali sebagai Survivors di Malaysia.

Antaranya acara Ramadan Free Fire yang menggalakkan Survivors di Malaysia berkongsi kebaikan antara satu sama lain dengan amalan memberi, lebih-lebih lagi ketika di mana ramai di antara kita sedang berjauhan dengan insan tersayang.

Dengan menyatukan komuniti dalam Free Fire, Survivors dapat mengatasi jarak fizikal untuk sama-sama mencipta kenangan dan detik menyeronokkan.

Dalam perkembangan lain, Zizan juga bakal muncul dengan filem berjudul Juang.

Apa yang menarik, filem berkenaan mengandungi enam cerita yang digabungkan dalam satu filem dan setiap cerita itu diarahkan enam pengarah berbeza.

Enam pengarah terbabit ialah Aziz M Osman, Kabir Bhatia, Datuk Yusry Abdul Halim, Osman Ali, Erma Fatima dan Matt Lai.

Selain Zizan, turut berlakon ialah Datuk Rosyam Nor, Janna Nick, Zul Ariffin, Izzue Islam dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.