150,597 kembali bekerja, lepasi unjuran, kata PM

Muhyiddin Yassin berkata, usaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara berjaya mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu.

KUALA LUMPUR: Seramai 150,597 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan kerajaan setakat 23 April lalu, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia melebihi unjuran kumulatif setakat bulan lalu dengan sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bagi 2021.

“Usaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara berjaya mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu dan 76% daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

“Ini adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu, hasil daripada komitmen pelaburan bagi 2021,” katanya dalam catatan Facebook.

Muhyiddin berkata, ketika mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) secara persidangan video hari ini, beliau dimaklumkan secara terperinci inisiatif Pengekalan dan Penjanaan Pekerjaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi.

“Mesyuarat juga dimaklumkan isu dan cabaran pekerjaan dalam sektor tidak formal.

“Hasil daripada 6,202 program libat urus, bilangan orang bekerja sendiri (OBS), termasuk pekerja gig yang mendapat perlindungan sosial dari Perkeso menunjukkan peningkatan daripada 71,000 pada 2019 kepada 81,000 orang (2020) dan yang terkini 142,000 orang (2021).”

Katanya, Grab Malaysia membentangkan strategi memperkasakan ekonomi domestik melalui proses digitalisasi dengan empat program perintis dicadangkan.

Program tersebut mampu menyediakan lebih 35,000 peluang menjana pendapatan dalam e-hailing bagi orang kelainan upaya (OKU), peniaga di pasar awam serta perusahaan makanan dan minuman (F&B).

Mengambil maklum kesukaran OKU dan golongan rentan mendapat akses peluang penjanaan pendapatan, NEC meminta Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pihak berkuasa tempatan mengkaji mekanisme, termasuk peruntukan perundangan bagi menyegerakan inisiatif itu.

“Mesyuarat juga dimaklumkan Program Kerjaya UP yang dilancarkan pada 12 April lalu, khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar berjaya membantu 489 pemohon mendapat pekerjaan serta-merta.

“Majlis bersetuju memperluaskan program ini lebih agresif dengan sasaran lebih meluas bagi membantu sosioekonomi golongan ini keluar daripada belenggu kemiskinan.”

Untuk menjadikan komposisi keahlian NEC lebih inklusif, tiga ahli tetap tambahan mewakili sektor kewangan, keusahawanan dan inovasi dilantik, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Maybank Investment Bank Bhd, Sharifah Sofianny Syed Hussain, Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan Profesion Malaysia, Azlin Ahmad Shaharbi dan pengasas bersama GoGet, Francesca Chia.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.