330 burung dilupuskan selepas positif selesema burung

[email protected]

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor mengesan penyakit Avian Influenza atau selesema burung pada 330 ekor burung bernilai RM23,190 dibawa masuk dari Mali.

Burung itu dikesan positif wabak berkenaan selepas beberapa sampel diambil ketika menjalani kuarantin di Stesen Kuarantin Haiwan dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV).

Untuk rekod, semua haiwan diimport akan menjalani proses kuarantin sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

MAQIS menerusi kenyataan berkata, prosedur ujian berkenaan dijalankan bagi mencegah wabak penyakit serta boleh menyebabkan industri ternakan unggas negara terjejas sekiranya tidak dibendung pada peringkat awal.

“Kesemua burung yang dirampas dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Piawaian ditetapkan jam 9 pagi semalam.

“Langkah ini diambil bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara terjamin dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya, hari ini.

Menurutnya, antara jenis burung yang dirampas dan dimusnahkan adalah Green Turaco, Violet Turaco, Senegal Parrot, Rose Ring Parakeet, dan Singing Finch dari Mali, Afrika.

“MAQIS sentiasa komited dengan tindakan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara dan akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, menjadi satu kesalahan sekiranya terdapat pengimportan tumbuhan, binatang, karkas dan sebagainya dengan penyakit.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika disabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.