60 kluster berkait Aidilfitri, Hari Gawai, kata KP Kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua pihak perlu bertanggungjawab untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka kepada jangkitan virus Covid-19.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 kluster perayaan dilaporkan bermula 13 Mei hingga 10 Jun, dengan 58 daripadanya melibatkan sambutan Aidilfitri dan dua lagi kluster melibatkan Hari Gawai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster itu dengan 3,511 kes positif Covid-19 dikenal pasti, menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27%.

Daripada jumlah kes positif tersebut, 20 kematian dilaporkan dan sehingga kini, 11 kes masih dalam rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3%), Sarawak dengan lapan kluster (13.3%), serta Kedah dengan tujuh kluster (11.7%).

“Situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

“Sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan tersebut, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Noor Hisham berkata semua pihak perlu bertanggungjawab untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka kepada jangkitan virus Covid-19.

Katanya, Malaysia wajar mencontohi negara jiran yang berjaya mengawal situasi pandemik Covid-19 dengan baik, sekali gus membuktikan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada SOP, kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan.

“Rakyat digesa untuk kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak di luar. Daftarkan diri anda dan ahli keluarga untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi membentuk imuniti kelompok dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.