ASTAF tak layan Ahmad, gantung sampai 2038

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail mengemukakan rayuan penggantungannya selepas tamat tarikh ditetapkan tidak dilayan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Malah, badan induk Asia itu mengesahkan hukuman penggantungan 17 tahun Ahmad daripada terbabit sebarang aktiviti sepak takraw di peringkat tempatan dan antarabangsa kekal dan hanya akan berakhir pada 2038.

Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader berkata, Ahmad mengemukakan surat rayuan Khamis lalu dan ia sudah melewati tarikh asal rayuan yang tamat pada 20 Mei lalu.

“Saya ingin mengulangi bahawa prosiding tatatertib sudah diadakan dan anda diberi peluang yang cukup untuk mengemukakan kes anda dalam tempoh 14 hari dari hari notis ditulis mengenai keputusan dibuat Jawatankuasa Disiplin ASTAF bertarikh 6 Mei 2021 dan berakhir pada 20 Mei 2021.

“Bagaimanapun, anda tidak melakukannya (dalam tempoh berkenaan). Anda juga dimaklumkan mengenai keputusan Lembaga Disiplin, malah turut diberikan masa untuk mengemukakan rayuan. Anda tidak mengemukakan sebarang rayuan dan dengan demikian, proses rayuan anda sudah tamat dan anda perlu memenuhi keputusan seperti diputuskan Lembaga Disiplin,” kata Abdul Halim dalam satu surat balas kepada Ahmad bertarikh 28 Mei lalu.

Pada 5 Mei lalu, Ahmad atau dikenali sebagai ‘Tok Mat’ dikenakan hukuman penggantungan selama 15 tahun selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan termasuk meminta campur tangan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Selain itu, dia dikehendaki membayar kos perbicaraan AS$25,000 (RM102,937) dan jika gagal hukuman tambahan dua tahun akan dikenakan.

Bagaimanapun, hukuman ke atas Tok Mat ditambah dua tahun baru-baru ini selepas gagal membayar kos perbicaraan itu sekali gus menjadikan jumlah penggantungannya kepada 17 tahun.

“Seperti yang anda diberitahu, kegagalan membayar balik ASTAF akan menjadi tindakan salah laku dan/atau tidak berdisiplin. Justeru, ASTAF memutuskan untuk menjatuhkan anda dengan tambahan dua tahun dan ini menjadikan jumlah penggantungan selama 17 tahun (tempatan dan antarabangsa) bermula 6 Mei 2021.

“Anda dilarang membabitkan diri dalam sebarang aktiviti sepak takraw sebagai pemain, jurulatih atau pegawai, tempatan ataupun luar negara sehingga 6 Mei 2038,” kata Abdul Halim dalam surat berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.