Awie masih tunggu keputusan polis

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie masih menunggu keputusan polis ekoran dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada majlis amal di sebuah hotel di Melaka pada 7 Mei lalu.

Awie berkata, dia sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 9 Mei lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan ke atasnya dan percaya, semuanya akan dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya masih menunggu keputusan polis, insya-Allah semuanya baik-baik sahaja. Saya sudah melakukan apa yang pihak berkenaan mahukan.

“Jika mahu komen bagi mempertahankan diri pun tidak berguna. Tetapi, tidak mengapa, polis tahu apa yang saya lakukan. Cuma, saya akui akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, satu video klip berdurasi 42 saat memaparkan Awie bersama beberapa individu sedang menyanyi pada majlis berbuka puasa sempena acara Misi Kemanusiaan Datuk Awie Bersama Sayap-Sayap Wings di sebuah hotel di Melaka tular dalam media sosial. Ekoran itu, Awie dipanggil polis bagi membantu siasatan.

Awie menjawab pertanyaan media mengenai perkembangan kes berkenaan ketika ditemui pada sidang media virtual program terbaharu, Sumbang Suara siaran TV3, kelmarin.

Beralih perkembangan terkini, Awie sempat menyiapkan single buat Palestin.

“Lagu berjudul My Palestina baru sahaja rakaman, minggu lalu. Insya-Allah, lagu ini akan diperdengarkan, tidak lama lagi. Saya berharap lagu ini akan dimainkan di stesen radio supaya kita beramai-ramai dapat membantu menyelesaikan permasalahan di bumi Gaza,” katanya.

Bukan itu sahaja, Awie juga akan terbabit dengan misi kemanusiaan bagi menyalurkan sumbangan buat rakyat Palestin.

“Ini adalah sumbangan saya buat Palestin. Ia bukan soal agama atau bangsa, ini soal kemanusiaan. Sebagai manusia, saya terpanggil melakukan misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin dalam berdepan krisis yang berlarutan sejak lebih enam dekad lalu.

“Seperti misi kemanusiaan lain, saya juga akan melakukan misi kemanusiaan bagi membantu Palestin dan Syria. Ini adalah perancangan saya yang seterusnya bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang akan ditubuhkan. Kami akan melakukan pelancaran, tidak lama lagi.

“Tidak kira perkara seperti ini berlaku di negara mana, jika ia berlaku di Afrika sekalipun, kita tetap akan membantu. Selalunya orang akan mengaitkan bantuan dengan Muslim dan sebagainya, tetapi bukan soal itu, sebaliknya misi kemanusiaan yang ingin dibawakan ini bagi membantu mereka yang tertindas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.