Bantu penduduk pedalaman beralih ke teknologi 4G

[email protected]

Kerajaan menyasarkan untuk menaik taraf infrastruktur telekomunikasi menerusi perancangan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dari 2021 hingga 2022. Negara juga dalam perancangan menaik taraf daripada 3G dijangka akan berakhir hujung tahun ini kepada 4G.

Bagaimanapun, harus diingat pengguna 3G ialah rakyat di luar bandar dan pedalaman, termasuk warga emas, selain masih ada golongan B40 menggunakan infrastruktur terbabit.

Sebahagian penduduk pedalaman seperti Sabah dan Sarawak daripada B40, tidak mempunyai literasi teknologi mudah alih. Ini boleh dilihat apabila lebih separuh daripada mereka tidak mendaftar untuk mendapat akses vaksin kerana tidak tahu menggunakan aplikasi MySejahtera.

Antara cabaran paling ketara dihadapi golongan itu adalah mereka akan mengalami perubahan drastik apabila tidak mempunyai literasi teknologi mudah alih untuk menggunakan perkakasan mahupun perisian.

Ia akan menjadi kejutan budaya apabila menggunakan telefon pintar jauh lebih canggih daripada apa dimiliki sekarang.

Golongan seperti warga emas, B40 penduduk pedalaman perlu dibantu untuk memudahkan transformasi digital itu.

Syarikat telekomunikasi boleh mengesan pengguna 3G yang boleh dianggap sebagai golongan terpinggir menerusi pangkalan data khusus untuk pengguna rangkaian 3G dan rekod perkakasan.

Golongan ini mempunyai literasi teknologi mudah alih rendah dan memerlukan pendidikan bersesuaian untuk penggunaan teknologi mudah alih dengan betul.

Seharusnya syarikat terbabit lebih proaktif mengesan mereka sebelum tarikh luput perkhidmatan 3G untuk memberi khidmat pemindahan daripada rangkaian 3G ke 4G dan memberi panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk temu janji transformasi perkhidmatan dan pengetahuan, selain memberikan harga telefon pintar akses 4G dengan harga berpatutan.

Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu turun padang memberi penerangan bersama komuniti serta syarikat telekomunikasi.

Pelanggan daripada golongan terpinggir itu perlu diberikan panduan menggunakan telefon pintar.

Sebelum ini, mereka mungkin hanya menggunakan telefon untuk tujuan SMS dan bercakap, tetapi sekarang terpaksa belajar menggunakan fungsi lebih canggih.

Lebih penting, mereka perlu diajar menggunakan media sosial, e-mel, memuat turun aplikasi penting seperti MySejahtera dengan betul.

Mereka juga perlu dididik dengan penggunaan etika teknologi mudah alih supaya dapat memanfaatkan penggunaan 4G tanpa ancaman berita palsu dan komplot penipuan.

Oleh itu, mereka perlu didedahkan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan transaksi e-dagang dan melaporkan perkara mencurigakan supaya tidak terlalu mempercayai seperti panggilan telefon mahupun perkhidmatan memungkinkan akses maklumat data tanpa izin.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh dibabitkan sama dengan memberi penerangan dalam bahasa mudah mengenai cara penjagaan kesihatan, penggunaan MySejahtera dan akses pendaftaran vaksin COVID-19.

Dalam perkembangan lain, pemberian percuma data 1GB juga perlu diberikan perhatian. Penggunaan telefon pintar 4G menggunakan data tinggi sehingga menyebabkan ia kehabisan pada masa beberapa jam, terutama jika pengguna mengakses bahan digital multimedia.

Syarikat telekomunikasi perlu lebih prihatin dan bermurah hati melanjutkan perkhidmatan data percuma, di samping meningkatkan penggunaan data kepada golongan ini.

Begitu juga pembelian perkakasan kepada golongan miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sepatutnya diperhalusi supaya tidak membebankan mereka yang kurang mampu serta kurang pengetahuan menggunakan telefon pintar.

Perkongsian satu perkakasan untuk satu keluarga miskin mempunyai anak ramai harus diperhalusi dan dikaji sejauh mana dapat membantu keluarga terbabit. Ini akan lebih terkesan, terutama ketika Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) apabila semua ahli keluarga terpaksa berkongsi perkakasan sama.

Oleh itu, syarikat telekomunikasi, KKM dan SKMM perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah transformasi daripada 3G kepada 4G supaya berjalan lebih lancar. Ini dapat memastikan pelanggan golongan terpinggir 3G akan mendapat bantuan sewajarnya mengikut saranan dicadangkan untuk literasi teknologi mudah alih inklusif.

Penulis adalah Profesor Madya, Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.