Cabrera dibenar keluar hospital

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam tadi dibayangi dengan situasi menakutkan yang dialami penyerang skuad Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera.

Berdasarkan insiden yang berlaku pada minit ke-56, keadaan cemas dapat disaksikan apabila penyerang itu didapati tidak sedarkan diri selepas bertembung dengan pertahanan KDA FC, Renan Alves.

Insiden itu tercetus apabila Alves cuba menghalang pergerakan Cabrera yang cuba memasuki kawasan penalti namun ‘rempuhannya’ mengakibatkan penyerang skuad Harimau Selatan itu terjatuh lalu terus rebah.

Keadaan itu memaksa pasukan perubatan dipanggil ke dalam padang untuk memberikan rawatan dan Cabrera diusung keluar susulan insiden terbabit sementara Alves dilayangkan kad kuning atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, JDT mengesahkan Cabrera tidak terbabit dengan kecederaan serius susulan insiden itu namun akan tetap dipantau sebelum kembali dibenarkan menjalani latihan.

“JDT dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa Gonzalo Cabrera sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital selepas terbabit dalam perlanggaran sewaktu perlawanan bertemu KDA FC malam tadi (kelmarin).

“Ujian perubatan awal mengesahkan bahawa Cabrera tidak mempunyai sebarang komplikasi. Beliau akan menjalani pemantauan lanjut selama beberapa hari ini sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan,” kata pasukan itu.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama insiden pertembungan antara pemain berlaku dalam Liga Malaysia (Liga M) sehingga pemain tidak sedarkan diri di mana insiden sama pernah menimpa pemain tengah Sabah FC, Azzizan Nordin.

Pada aksi antara Selangor FC (SFC) menentang Sabah FC, Azzizan bertembung dengan Sharul Nazeem Zulpakar ketika cuba merebut bola di udara pada minit ke-43.

Insiden itu menyebabkan dia jatuh ke atas padang dan tidak sedarkan diri sebelum tindakan pantas Sharul yang mengeluarkan bola membolehkan Azzizan mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, Azzizan dibenarkan kembali untuk bermain selepas mendapat rawatan pada perlawanan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.