PETALING JAYA: Kerajaan perlu mendedahkan semua perjanjian konsesi tol kepada umum, kata seorang pakar pengangkutan, selepas Putrajaya mengumumkan akan membayar pampasan sebanyak RM2.25 bilion untuk penangguhan kenaikan tol.
Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, ketelusan itu akan membolehkan orang ramai mengetahui bila kenaikan tol akan berlaku dan berapa banyak.
“Dengan maklumat yang tersedia, tanggungjawab untuk menentukan jalan mana untuk dilalui bergantung kepada orang ramai. Mereka akan membuat keputusan itu, bukan kerajaan,” katanya.
Rosli berkata, kerajaan juga perlu memastikan, pada awal setiap perjanjian, kadar kenaikannya tidak terlalu mahal.
Katanya, jika kerajaan membuat ramalan lalu lintasnya sendiri, kenaikan harga tidak akan berlaku.
“Peningkatan jumlah lalu lintas dalam kapasiti lebuh raya yang sama bermaksud pendapatan meningkat tetapi kos tidak. Jadi, lama kelamaan, syarikat konsesi akan meraih lebih banyak keuntungan apabila lalu lintas meningkat walau beroperasi dengan kadar tol yang sama,” katanya kepada FMT.
Katanya lagi, menunda kenaikan tarif tol bererti melanjutkan perjanjian konsesi untuk beberapa tahun lagi, sedangkan kadar tol berkemungkinan meningkat lagi pada waktu itu.
Rosli berkata, kerajaan sepatutnya membiarkan saja perjanjian itu dan membenarkan tol naik supaya konsesi berakhir mengikut rancangan.
“Setelah perjanjian konsesi tamat, tidak akan ada tol lagi. Orang ramai akan lebih gembira. Sudah pasti ia satu sasaran yang masuk akal,” katanya.
Carmelo Ferlito, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pemasaran (CME), berkata penangguhan kadar tol untuk tiga lebuh raya utama tahun depan tidak banyak membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi masyarakat umum.
Ferlito berkata, adalah baik jika kerajaan membiarkan Parlimen bersidang sehingga status sebenar kewangan awam, rancangan pemulihan dan angka sebenar dapat dilaporkan.
Ahli ekonomi itu berkata, ia juga adalah saat untuk perbincangan serius mengenai bagaimana untuk membina dan menguruskan projek-projek mega, termasuk lebuh raya.
“Pendekatan yang lebih berasaskan pasaran perlu dibincangkan dan dipertimbangkan oleh pemerintah.
“Ini boleh menjadi langkah yang dapat meringankan beban perniagaan dan orang ramai tetapi perlu disertai dengan strategi yang lebih luas dan lebih komprehensif untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan perlu membiarkan kadar tol naik dan dalam masa sama, memikirkan langkah jangka panjang.
Barjoyai berkata, kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mengambil alih tol dengan menggunakan dana wakaf. Sekiranya dipasarkan dengan baik, ramai yang akan menyumbang kepada dana tersebut.
Jumaat lalu, Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof mengumumkan kerajaan telah menangguhkan kenaikan kadar tol untuk tahun 2021 bagi Lebuhraya Kesas, Lebuhraya Lembah Klang Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hingga tahun depan memandangkan keadaan ekonomi yang dihadapi orang awam.
Rancangan untuk menaikkan kadar tol di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) juga ditangguhkan.
Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)