DUN Melor: SPR tentukan adakah pilihan raya atau tidak

[email protected]

Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada untuk mengadakan pilihan raya atau tidak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor.

Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub berkata, dalam tempoh darurat itu, keputusan pilihan raya akan ditentukan oleh budi bicara SPR.

Katanya, kekosongan kerusi di DUN Melor selepas penyandangnya, Dr Md Yusnan Yusof meninggal dunia pada 2.28 pagi, Jumaat lalu.

“Saya ingin memaklumkan pada pagi ini, kita menerima sijil kematian Yang Berhormat Dr Md Yusnan Yusof daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Beliau meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.

“Mengikut Perkara 46 (5) Bahagian Pertama Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan, apabila berlaku kekosongan kerusi mana-mana DUN dalam negeri Kelantan, maka saya akan memaklumkan atau menghantar surat secara rasmi kepada SPR hari ini.

“Ia bagi memaklumkan kekosongan sesuatu kerusi dan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan itu, maka SPR perlu mengisi kekosongan itu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemakluman itu akan dibuat secara rasmi kepada SPR.

Katanya, jika suasana biasa akan ada pilihan raya kerana kerusi itu tidak cukup tempoh selama tiga tahun.

“Pada 9 Mei ini baharu cukup tempoh tiga tahun. Sepatutnya ada pilihan raya walaupun tidak cukup sembilan hari. Namun, kerajaan negeri serahkan kepada SPR sama ada hendak mengadakan pilihan raya atau tidak kerana sekarang tempoh darurat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Dr Md Yusnan, 53, meninggal dunia di kediamannya di Melor, di sini, jam 2.28 pagi, Jumaat lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.