Enam beranak terpaksa tinggal dalam khemah

[email protected]

Seremban: Kesempitan hidup menyebabkan enam beranak terpaksa tinggal di dalam khemah kerana tidak mampu menyewa bilik atau rumah selepas hilang pekerjaan sebagai pencuci kereta.

Sebelum ini keluarga malang berkenaan tinggal di sebuah bilik di premis tempat mereka bekerja sejak dua tahun lalu.

Menurut ibu kepada empat anak itu, Norhidayah Khalid, 31, dia dan suaminya, Syamsulhasmeir Yaakop, 40, terpaksa mencari tempat sementara untuk mereka sekeluarga berlindung.

“Selepas perniagaan cuci kereta ini ditutup, kami menumpang gerai makanan milik kakak saya yang tidak digunakan sejak sebulan lalu.

“Buat sementara ini, suami saya membuat pelbagai pekerjaan seperti melakukan sanitasi untuk kediaman atau premis bagi mencari perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Katanya, mereka sekeluarga terpaksa keluar dari premis cuci kereta itu selepas Aidilfitri lalu.

“Pada mulanya kami cuba juga berniaga di kedai makan milik kakak ini tetapi tiada pelanggan dan kami terpaksa tutup selepas kehabisan modal.

“Di sini memang tidak selesa tetapi kami tiada pilihan terpaksa menyesuaikan diri apa yang ada kerana yang penting keperluan dapur dan makanan untuk anak berusia dari dua tahun hingga 11 tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya mendapat tahu daripada pihak sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan Nyatuh, Rantau tentang kesusahan keluarga ini.

“Kami daripada PERKASIH N9 datang dan melihat keperluan keluarga ini yang mana kami turut memaklumkan kepada Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Kami harap nasib keluarga ini terbela kerana bahaya tinggal di tempat terbuka yang terdedah kepada binatang liar seperti ular dan sebagainya kerana mereka tidak mampu menyewa rumah buat sementara ini,” katanya.

Pihak kami juga mengalu-alukan mereka yang mahu menyumbang bagi meringankan beban mereka sekeluarga dengan terus melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05102-41-00007557-4 atas nama Norhidayah Khalid atau boleh dihubungi di talian 018-3526839 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.