Ibu mengandung, menyusukan anak diberi vaksin tertentu

[email protected]

KUALA LUMPUR: Ibu mengandung dan menyusukan anak boleh mengemas kini butiran status masing-masing pada aplikasi MySejahtera.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara itu berkata golongan terbabit kini boleh memasukkan beberapa butiran berkaitan status kandungan mereka seperti tahun dan bulan jangkaan kelahiran anak.

Menerusi butiran yang dinyatakan susulan penerapan ciri-ciri baharu dalam MySejahtera, beliau berkata, pertimbangan sewajarnya akan dibuat bagi menentukan jenis vaksin bersesuaian untuk ibu mengandung dan menyusukan anak.

“Janji temu anda akan bersandarkan vaksin yang sesuai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan Khairy, butiran berkaitan kandungan dan status penyusuan kini disertakan di bawah kemas kini alamat rumah, dalam ruangan vaksinasi, dekat aplikasi MySejahtera.

Kesemua butiran berkenaan, termasuk alamat semasa, status kandungan dan penyusuan akan dipaparkan pada bahagian penilaian pemilik akaun MySejahtera.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap vaksin Sinovac, semalam bakal melonjakkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap keberkesanan pelalian yang dihasilkan syarikat farmaseutikal berpangkalan di Beijing, China itu.

“Perakuan antarabangsa ini berupaya memacu keyakinan kita, memandangkan sebanyak 18 peratus daripada penduduk di Malaysia dijangka meraih manfaat daripada suntikan 12 juta dos Sinovac.

“Ia selamat dan berkesan,” katanya.

WHO menerusi kenyataan semalam memaklumkan bahawa vaksin Sinovac-CoronaVac diperakui untuk kegunaan kecemasan, sekali gus memberi jaminan yang selama ini dinantikan negara, pembiaya, agensi perolehan dan komuniti di seluruh dunia.

Hasil penelitian badan berkenaan, vaksin Sinovac menepati standard antarabangsa dari segi keselamatan, keberkesanan dan pengeluaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.