‘Ini peperangan seluruh rakyat Malaysia’

[email protected]

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang akibat Covid-19 dan bersatu dalam mengekang penularan virus itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perang menentang pandemik Covid-19 adalah peperangan buat seluruh rakyat Malaysia, justeru rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik diseru bersama-sama memeranginya.

“Ini adalah peperangan kita bersama. Saya percaya dengan kawalan kendiri kita boleh sekali lagi menang dalam peperangan menentang Covid-19,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, keputusan kerajaan membuat Sekatan Pergerakan Penuh (SKP) di seluruh negara yang bermula 1 Jun hingga 14 Jun selepas mengambil kira situasi semasa pandemik yang kini mencecah lebih 9,000 kes sehari.

“Keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kira semua aspek termasuk, kepentingan kesihatan awam dan keselamatan rakyat yang diancam penularan berbahaya ini.

“Dalam erti kata lain, nyawa rakyat pada ketika ini amat penting memandangkan terdapat lebih 70,000 kes aktif ditambah pula dengan kemunculan varian baharu yang lebih ganas,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dengan kapasiti wad ataupun katil hospital termasuk di unit rawatan rapi (ICU) yang sudah mencapai tahap maksimum, adalah tidak mustahil sistem perkhidmatan kesihatan negara akan lumpuh dalam tempoh terdekat sekiranya sekatan penuh tidak dilaksanakan.

“Petugas barisan hadapan kita semakin keletihan melampau selepas lebih setahun berjuang untuk menangani pandemik Covid-19, justeru bantulah petugas barisan hadapan kita menyelamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh jika peningkatan kes tidak terkawal.

“Kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah membuka hospital medan bagi membantu meringankan bebanan hospital yang terjejas akibat peningkatan mendadak kes ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, tempoh SKP fasa pertama amat penting untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 dan ia tempoh penting buat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hanya dengan kerjasama dan disiplin mampu menyelamatkan sistem kesihatan negara. Langkah ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia adalah satu pengorbanan yang perlu dilakukan untuk keselamatan dan kesejahteraan kita bersama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.