Johor tangguh majlis akad nikah, resepsi perkahwinan

[email protected]

Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menangguhkan urusan majlis akad nikah dalam tempoh sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 1 Jun hingga 14 Jun depan.

Pengarahnya Datuk Md Rofiki Shamsuddin berkata, selain akad nikah, turut ditangguhkan majlis resepsi atau walimatul urus dan kursus pra perkahwinan Islam secara bersemuka.

Katanya, perkhidmatan kaunter yang membabitkan permohonan kebenaran berkahwin sama ada dalam bidang kuasa atau luar bidang kuasa, pendaftaran cerai, pendaftaran rujuk, permohonan pendaftaran pengesahan perkahwinan, poligami, pengambilan dokumen serta kad perakuan nikah, turut ditangguhkan.

“Bagi masyarakat awam yang dijadualkan melalui temu janji untuk melaksanakan urusan nikah, cerai dan rujuk di pejabat kadi daerah, penjadualan semula urusan berkenaan akan dilaksanakan oleh pejabat kadi yang berkaitan.

“Pemakluman perubahan tarikh ini akan diselaraskan oleh kadi daerah.

“Oleh itu, bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga dalam tempoh ini dinasihatkan supaya bersabar dan memperbanyakkan ibadah berpuasa serta berzikir kepada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk yang dilaksanakan secara atas talian menerusi sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) http://www.sppim.gov.my ianya masih dilaksanakan.

Katanya, permohonan Kebenaran Nikah (Benar Nikah Online), kursus pra perkahwinan Islam secara sidang video dan Pendaftaran Kursus (Pra Perkahwinan Online) boleh dibuat melalui sistem SPPIM.

“Aduan dan pertanyaan tentang proses kebenaran berkahwin secara atas talian melalui sistem SPPIM (Aduan@SPPIM) atau menghantar pesanan ke facebook Jabatan Agama Islam Negeri Johor atau facebook Pejabat-Pejabat Kadi Daerah.

“Perkhidmatan Khidmat Nasihat secara atas talian (Rundingcara Online) juga masih dilaksanakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.