Keputusan SPM 2020 terbaik dalam tempoh 5 tahun

Calon yang layak memperoleh sijil SPM 2020 meningkat 1.96% kepada 88.68%, berbanding 86.72% pada tahun 2019. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Di sebalik cabaran peperiksaan ditunda berulang kali, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 merekodkan pencapaian terbaiknya dalam tempoh lima tahun.

Ini dapat dilihat melalui Gred Purata Nasional (GPN) yang dicatatkan pada 4.80 mata berbanding 4.86 mata pada tahun sebelumnya, menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, jurang pencapaian calon SPM di bandar dan luar bandar juga mengecil pada 0.38% berbanding 0.44% pada tahun sebelumnya.

“Calon yang layak memperoleh sijil SPM 2020 juga meningkat 1.96% kepada 88.68%, berbanding 86.72% pada tahun 2019,” katanya dalam satu sidang media maya pagi ini.

Sementara itu, Radzi berkata, slip keputusan awal boleh dimuat turun bermula 10 pagi ini melalui pautan ini atau di sini, manakala slip keputusan penuh hanya boleh dimuat turun mulai 14 Jun di laman web ini.

Seramai 401,105 calon menduduki peperiksaan membabitkan 83 mata pelajaran itu di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 22 Feb hingga 25 Mac lalu.

Pemeriksaan skrip jawapan kertas peperiksaan pertama kali diadakan secara dalam talian dan melibatkan 24,848 pemeriksa, sekali gus mempercepat proses pemarkahan.

SPM 2020 merupakan ujian paling getir buat pelajar Tingkatan Lima selepas jadual peperiksaan ditunda beberapa kali – dari 5 Okt ke 16 Nov 2020, kemudian ke 6 Jan tahun ini dan sekali lagi ke 22 Feb.

Para calon turut terpaksa membuat ulang kaji secara dalam talian susulan penutupan sekolah akibat penularan Covid-19.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.