MAIWP sumbang RM1.06 juta kepada tabung kebajikan hospital

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1.06 juta kepada tabung kebajikan 11 hospital dan pusat perubatan di Wilayah Persekutuan bagi membantu pesakit asnaf dan kurang berkemampuan.

Penerima sumbangan berkenaan ialah tabung kebajikan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Muhriz, Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, Yayasan Institut Jantung Negara, Hospital Labuan, Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tunku Mizan dan Hospital Rehabilitasi Cheras.

Turut menerima sumbangan ialah Hospital Selayang dan Hospital Serdang yang berkongsi tabung kebajikan.

Tabung kebajikan hospital dan pusat perubatan terbabit menerima sumbangan antara RM8,000 hingga RM300,000.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu majlis di Auditorium HKL yang turut dihadiri Pengarah HKL Datuk Dr Heric Corray dan Pengerusi MAIWP Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Zulkifli dalam sidang media selepas majlis berkenaan berkata sumbangan itu adalah hasil daripada komitmen pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata sumbangan secara sekali bayar berkenaan merupakan sumbangan tradisi yang telah dijalankan setiap tahun oleh MAIWP.

“Diharapkan sumbangan ini dapat dimanfaatkan oleh hospital dan institusi kesihatan untuk membantu pesakit kurang berkemampuan yang memerlukan peralatan perubatan, pembelian ubatan khas dan bantuan am seperti pembedahan atau rawatan susulan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.