Pantau NGO kutip derma Palestin pastikan misi sumbangan tercapai

[email protected]

Masyarakat dunia sekali lagi dikejutkan serangan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin bermula akhir Ramadan lalu. Ia dimulakan dengan tindakan Israel menceroboh Sheikh Jarrah, menghalau penduduk asal Palestin dari kediaman mereka untuk didiami pendatang Yahudi serta menceroboh Masjid al-Aqsa.

Melihatkan keganasan termasuk jumlah terkorban, rakyat negara ini sekali lagi memperlihatkan keprihatinan dengan melakukan pelbagai tindakan.

Antaranya membantah dan mengutuk tindakan kejam Zionis, mengadakan sesi penerangan serta kesedaran umum di media sosial serta memberikan sumbangan kewangan atau derma kepada masyarakat Palestin.

Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil melakukan aktiviti mengumpul dana bagi tujuan penyaluran bantuan kepada penduduk Palestin terjejas akibat serangan itu.

Sumbangan dan derma bukanlah asing kepada rakyat negara ini. Kita sering melihat pelbagai aktiviti dan program dijalankan NGO dalam memberi bantuan kepada penduduk Palestin.

Ini termasuk penyerahan makanan, pakaian, kelengkapan dan perubatan hingga kepada pembinaan bangunan seperti hospital, masjid serta sekolah. Namun, timbul juga persoalan adakah ia benar-benar sampai sepenuhnya kepada rakyat Palestin?

Untuk makluman, kebanyakan NGO terbabit dalam aktiviti kemanusiaan, terutama di Palestin, berdaftar sama ada dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (BHEU), mengikut jenis organisasi terbabit.

Bagi memastikan kesinambungan dan operasi berterusan, NGO dibenarkan menggunakan sebahagian sumbangan diterima bagi menampung kos pengurusan. Namun, disebabkan tiada garis panduan khusus mengenai caj kos pengurusan dibenarkan, banyak pihak mempersoalkan ketelusan dan kecekapan caj kos pengurusan diamalkan NGO.

Tidak dinafikan sukarelawan terbabit dalam aktiviti kebajikan layak mendapatkan faedah kewangan hasil aktiviti dan program dijalankan. Ini kerana sukarelawan menyumbangkan masa, tenaga dan wang ringgit serta mengalami kesukaran hingga mempertaruhkan nyawa bagi memastikan aktiviti kebajikan itu dapat dijalankan.

Kebimbangan umum lebih kepada segelintir individu atau kumpulan berselindung di sebalik tujuan asal penubuhan NGO sepatutnya melakukan aktiviti kebajikan tetapi memfokuskan usaha mengumpul sumbangan untuk mengaut keuntungan peribadi di sebalik kos pengurusan dibenarkan.

Lebih-lebih lagi sekiranya NGO ini tidak berdaftar secara sah mengikut undang-undang sedia ada.

Justeru, mekanisme kawalan pengurusan kewangan NGO perlu diperkemaskan. Bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti, NGO ini disarankan mendedahkan berapakah jumlah caj pengurusan diguna pakai kepada umum.

Pendedahan boleh dilakukan dalam laporan tahunan yang juga mestilah dapat diakses secara terbuka semua pihak mengikut masa ditetapkan.

Oleh itu, pihak berkuasa seperti ROS, SSM dan BHEU perlu mewajibkan arahan pelaporan kewangan terhadap NGO, sekali gus melakukan pemantauan, penilaian serta membenarkan ia tersedia untuk diakses umum.

Tambahan pula, maklumat penting berkaitan penggunaan dana sumbangan dan derma seperti disarankan untuk diisi dalam Borang Maklumat Kewangan (BMK) oleh SSM setiap tahun perlu diwajibkan pelaksanaannya dan turut didedahkan.

Selain itu, kerajaan juga perlu lebih tegas memantau aktiviti kewangan NGO terbabit. Bank Negara memang mempunyai unit bertanggungjawab memastikan aliran kewangan NGO ini mematuhi undang-undang sedia ada di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Bagaimanapun, peranan ini harus diperluaskan dengan melihat kepada pelaksanaan amalan tadbir urus kewangan baik. Ini termasuk mempromosikan kawalan dalaman dan pengurusan kewangan baik serta pelaporan lebih bersasar kepada masyarakat umum terutama penderma.

Dalam polemik isu caj kos pengurusan ini, terdapat inisiatif sebahagian NGO melakukan aktiviti ekonomi bagi menampung kos pengurusan dengan tujuan meminimumkan caj terbabit dan memaksimumkan pemberian sumbangan serta derma masyarakat umum terus kepada rakyat Palestin.

Tidak kurang juga kerjasama dijalinkan dengan NGO di Palestin agar memastikan bantuan sumbangan dan derma disalurkan terus sampai kepada rakyat Palestin tanpa perlu melalui birokrasi dan sekatan pihak tertentu.

Gerak kerja dan pengorbanan NGO serta sukarelawan ini sudah semestinya dapat menjamin tujuan asal dan niat murni penderma bagi membantu rakyat Palestin.

Masyarakat terutama penderma juga harus bijak dalam memilih NGO mempunyai kredibiliti untuk disalurkan sumbangan dan derma agar dana berkenaan dapat mencapai matlamat diinginkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.