LONDON: Wira Manchester United, Patrice Evra seakan memberi isyarat sokongannya terhadap Scotland menjelang perlawanan pembukaan pasukan itu di Euro 2020 dengan memakai klit (skirt yang dipakai lelaki Scotland) dan bermain instrumen muzik ‘bagpipe’.
Bekas pemain kebangsaan Perancis itu berkongsi klip video dirinya berpakaian lengkap tradisi Scotland, menari dan menggayakan bermain bagpipe bersama 7.6 juta pengikutnya di Instagram.
Bagi menzahirkan lebih penghormatan kepada rakyat Scotland, bekas pemain bek itu turut mendendangkan lagu Flower of Scotland sebagai latar belakang muzik di videonya.
Di akhir klip video berkenaan, pemain bintang itu mengangkat kilt bagi menunjukkan pinggul palsu yang ditulis ‘I Love This Game’.
Hantaran di Instagram miliknya itu turut dilengkapi tanda pagar: “Lord Evra terima kasih kepada semua #scottish people #ilovethisgame #lordevra #scotland.
“Klip videonya itu turut mendapat perhatian pengikutnya dengan salah seorang menulis: “Fergie kata, Pat tolong hentikannya”.
Antara lain berkata: “Andy Robertson pasti menyukainya Pat.”
Yang lain turut berkata: “Tak masuk akal Evra, tetapi ia membuat saya ketawa.”
Evra membuat hantaran ‘pelik’ itu kurang dua minggu selepas mengajuk Liam Gallagher susulan kekalahan Manchester City di final Liga Juara-Juara di tangan Chelsea, bulan lalu.
Di sebalik klip video dirinya memakai rambut palsu dan mendengar lagu Wonderwall, dia menulis: “Mungkin kamu akan memenanginya apabila saya (berusia) 90 tahun dan lebih-lebih lagi kamu adalah jiran saya yang bising @themightyi @liamgallagher @oasis.”
Scotland akan memulakan kempen Euro 2020 di Hampden Park bertemu Republik Czech, malam esok.
Bekas pengurus Scotland, Craig Brown turut menjangkakan pasukan kendalian Steve Clarke itu bakal memenangi kejohanan.
“Kami tidak kisah bagaimana kami layak, kami sudah berada di sana (layak). Jujurnya, saya fikir kami mempunyai sebuah pasukan yang mampu melangkah lebih jauh.
“Bukan saya memandai-mandai atau patriotik, saya benar-benar optimis yang kami akan boleh melangkah jauh dan kami mempunyai semua kemampuan dalam pasukan itu.
“Apabila saya melihat negara lain yang menang, Portugal memenanginya tanpa meraih kemenangan dalam satu perlawanan kumpulan, Greece pula memenanginya.
“Pada tahun 1992, Denmark menang. Mereka datang entah dari mana. Jadi terdapat kemungkinan untuk pasukan lain juga, bukan buat pasukan besar dan berprofil tinggi saja untuk memenanginya dan saya fikir Scotland mempunyai peluang pada kali ini.” – Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian