Perkasa Ejen ABC-19, tingkat pendaftaran vaksin luar bandar

[email protected]

MERSING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menyelaras dan memperkasa lagi Ejen Basmi COVID-19 (ABC-19) di kawasan luar bandar seluruh negara.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata langkah itu dilakukan bagi meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin sedia ada serta mempercepatkan lagi proses imunisasi COVID-19 membabitkan masyarakat luar bandar.

“KPLB akan bekerjasama dengan NADMA di bawah pengurusan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, bagi memperluas dan menyelaraskan Ejen ABC-19.

“KPLB juga akan memperkasa serta memperkukuhkan lagi fungsi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai Ejen ABC-19 berikutan mereka lebih mengenali dan memahami penduduk di kawasan mereka.

“KPLB menerusi agensi yang berada di lapangan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) , Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (FELCRA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan juga sentiasa meningkatkan promosi dan publisiti mengenai keperluan pengambilan vaksin kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mersing, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib; Pegawai Daerah Mersing, Mohd Radzi Mohd Amin dan Pegawai Kesihatan Mersing, Dr Norzaher Ismail.

Februari lalu media melaporkan, pendekatan ‘bawah ke atas’ dalam memperkasa komuniti melalui Ejen ABC-19 menjadi inisiatif terkini kerajaan dalam memastikan masyarakat di negara ini terhindar daripada jangkitan wabak itu.

Melalui pendekatan ini, pemimpin setempat dan anggota masyarakat akan turut serta dalam program pendidikan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) serta pematuhan pencegahan COVID-19.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) NADMA, Mohamad Azhan Md Amir, dilaporkan berkata ia turut memastikan ahli komuniti bersama-sama menghalang penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata, seramai 233 individu sudah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa kedua di Mersing.

Seramai 180 individu mendapatkan suntikan pertama mereka hari ini di dua pusat pemberian vaksin (PPV) di Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim dan Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

Dalam pada itu, penerima vaksin warga emas, Hasnah Roslan, 90 dan suaminya, Ahmad Syukor, 94, lega kerana sudah menerima suntikan pertama vaksin.

“Syukur kerana kami sudah memperoleh vaksin dos pertama. Diharap lebih ramai warga emas mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.