Pertembungan penunjuk perasaan pro-Israel dan pro-Palestin di Kanada

MONTREAL: Polis Kanada terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan pertembungan antara penunjuk perasaan pro-Israel dan pro-Palestin di Montreal, semalam.

Ribuan penunjuk perasaan yang membaluti tubuh mereka dengan bendera Israel, berkumpul di pusat dataran Montreal, untuk bersolidariti bersama.

Walaupun tunjuk perasaan pada awalnya bermula dengan aman, ketegangan meningkat ketika penunjuk perasaan pro-Palestin tiba dan pertembungan meletus selepas itu.

Perkhidmatan Polis de la Ville de Montreal (SPVM), mengesahkan tunjuk perasaan berkenaan dianjurkan secara haram memaksa polis rusuhan campur tangan dengan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan dan memisahkan kedua-dua kumpulan itu, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Polis menghabiskan banyak waktu untuk mengejar penunjuk perasaan yang berpecah dan berkumpul semula di jalan komersial di pusat bandar.

Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin yang berhimpun di pusat bandar Montreal kelmarin, mengecam tragedi di Gaza yang disifatkan sebagai penindasan Israel dan ‘jenayah perang’ dilakukan Yahudi Zionis.

Tunjuk perasaan pro-Palestin juga berlangsung sepanjang Sabtu lalu di beberapa bandar di Kanada, termasuk Toronto, Ottawa dan Vancouver.

Serangan Israel mengorbankan seramai 42 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza semalam. Ia menjadikan angka korban terburuk dalam tempoh hampir satu minggu serangan berdarah Israel terhadap Palestin. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.