Polis saman 27 lori angkut tanah dari kuari

[email protected]

KUALA SELANGOR: Polis telah memeriksa 27 lori terbabit operasi mengangkut tanah dari kuari di Jeram, di sini, sekali gus mengambil tindakan saman berkaitan kesalahan lalu lintas, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata ia adalah hasil siasatan serta pemantauan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan seorang pemilik akaun Facebook memuat naik imej tangkap layar memaparkan lori terbabit masih terus beroperasi walaupun Sekatan Pergerakan Penuh sedang dilaksanakan ketika ini.

“Hasil siasatan serta rujukan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor mendapati kebenaran sudah diberi bagi menjalankan kerja mengeluar, mengalih serta mengangkut bahan batuan (tanah merah) untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan cerun, kepada syarikat terbabit.

“Malah, kelulusan juga telah dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana dikategorikan sebagai ‘essential service’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Ambia berkata, siasatan lanjut dilakukan PDT Kuala Selangor mendapati kerja pengeluaran bahan batuan itu telah melanggar syarat ditetapkan MITI dan berikutan aduan dalam media sosial yang tular.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak yang berkongsi maklumat terbabit dalam laman sosial.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 800 penduduk di Taman Pekerti serta Taman Permai, Jeram, resah susulan puluhan lori tanah dikatakan keluar dan masuk dengan mengangkut tanah dari kuari terbabit.

Keadaan didakwa menjadi semakin teruk apabila laluan di dua taman perumahan itu dikatakan berdebu ketika cuaca panas serta berlumpur pada musim hujan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.