Sedia hadapi sebarang kemungkinan

[email protected]

TAHUN kedua menyambut Aidilfitri dalam norma baharu akibat pandemik Covid-19 tentunya punya cabaran tersendiri buat setiap yang meraikannya.

Namun, setidak-tidaknya tahun ini ramai dalam kalangan kita lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.

Bagi penyanyi dan pelakon, Izzue Islam, dia tidak menafikan rasa rindu kepada keluarga dan kampung halaman tentunya menebal lebih-lebih lagi Aidilfitri adalah detik yang dinanti-nantikan untuk bertemu kaum keluarga serta sanak saudara.

Namun, Izzue bersyukur kerana keluarganya kini memahami situasi yang berlaku sekarang dan kerajaan juga sudah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula hari ini sehingga 7 Jun ini.

Ini termasuk perjalanan merentas negeri dan daerah serta ziarah rumah ke rumah ketika Aidilfitri juga tidak dibenarkan.

“Siapa yang tak rindu untuk pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Namun, apa yang boleh saya katakan adalah tahun ini rata-ratanya ramai sudah bersiap sedia dari segi mental termasuklah saya.

“Tahun lalu, mungkin kita semua tak bersedia sebab apa yang berlaku begitu mengejutkan dan arahan yang dikeluarkan juga mungkin ketika kita masih lagi tertanya-tanya apa yang berlaku.

“Tahun ini, mental dah makin kuat berbanding sebelum ini dan saya yakin semua sudah bersiap sedia dari awal memandangkan jumlah kes jangkitan harian meningkat mendadak,” katanya.

Izzue berkata, sekiranya ini adalah langkah terbaik untuk mengurangkan penyebaran jangkitan Covid-19, dia reda.

“Alhamdulillah, keluarga saya di kampung faham situasi yang berlaku dan masing-masing pun tak meletak harapan untuk anak-anak pulang menyambut Aidilfitri.

“Saya harap semua dapat faham akan tanggungjawab masing-masing dan mungkin ini adalah langkah terbaik untuk mengurangkan penyebaran Covid-19,” katanya.

Disebabkan menyambut Aidilfitri di ibu kota bersama isteri, Izzue juga tidak begitu beriya-iya melakukan persediaan dari segi pakaian dan sebagainya.

“Sama seperti tahun lalu, tahun ini juga persiapan saya dan isteri lebih sederhana. Walaupun tak dapat pulang ke kampung halaman, rasa nak beraya itu pasti ada.

“Jadi, kami lebih memberi tumpuan kepada juadah Aidilfitri. Antara yang menjadi pilihan saya dan perlu ada tentunya ketupat palas dan rendang. Bila bercakap mengenai juadah ini, tentunya saya sangat rindukan rendang masakan arwah nenek saya,” katanya.

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri, Izzue meluahkan rasa rindunya akan suasana meraikannya di kampung halamannya di Kelantan.

“Kita semua akur dengan perintah kerajaan, tapi pada masa sama saya tak dapat menyembunyikan rasa rindu saya akan suasana Aidilfitri di kampung halaman satu ketika dulu.

“Suasananya dah tak sama. Kalau dulu, dua atau tiga hari sebelum Aidilfitri lagi kita dah dapat rasakan kehangatan Aidilfitri itu sendiri. Ramai sanak-saudara sudah mula menyiapkan persiapan juadah.

“Bunyi mercun dan meriam mengisi malam-malam kita semua di kampung. Memang dah kecoh. Tapi sekarang, ikatan silaturahim kita masing-masing hanya mampu dieratkan menerusi panggilan video dan sebagainya,” katanya.

Terbaru, drama lakonannya Sabarlah Duhai Hati kini sedang ditayangkan di slot Akasia TV3.

Selain itu, Izzue juga baru saja selesai menjalani penggambaran filem aksi berjudul Juang yang membabitkan 100 pelakon, enam pengarah dan lebih 250 kru produksi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.