Selangor keluar ‘baju raya’ edisi khas

[email protected]

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) mengeluarkan ‘baju raya’ kepada penyokong pasukan itu selepas melancarkan kit ketiga dan kit edisi khas bagi musim 2021 secara rasmi pada hari ini.

Ini adalah pelancaran jersi buat kali ketiga musim ini selepas jersi di laman sendiri dan jersi di tempat lawan diperkenalkan pada awal Februari dan Mac lalu.

SFC dalam satu kenyataan menjelaskan keunikan paling ketara bagi kedua-dua jersi ini adalah penggunaan logo pertama pasukan bola sepak Selangor yang pernah direkodkan yang mempunyai motif kepala banteng (Bos javanicus) dan dikelilingi oleh corak tangkai padi.

“Jersi ini adalah jersi pertama pasukan bola sepak Selangor yang dihasilkan bersama logo berkenaan kerana ia tidak pernah digunakan di dalam edisi jersi-jersi Selangor yang terdahulu.

“Berbeza dengan jersi yang diperkenalkan sebelum ini, konsep bagi jersi ketiga dan edisi khas ini diperkenalkan sempena menyambut ulang tahun ke-85 pasukan Selangor sebagai sebuah pasukan bola sepak di Malaysia.

“Hadir dengan warna merah Ferrari sebagai warna utama, jersi ini diinspirasikan oleh rekaan retro jersi bola sepak lama yang selalunya kelihatan kosong kerana tidak mempunyai sebarang corak, tidak mempamerkan logo penaja dan tidak menggunakan warna-warna yang berlainan.

Bagi menghasilkan rekaan retro yang kelihatan kosong, logo-logo rakan strategik kelab seperti PKNS, Digi, MBI Selangor, ANF dan SugarBomb dicetak menggunakan warna merah bagi memberikan ekspresi ‘red out’ kepada jersi berkenaan.

“Sungguhpun demikian, warna kuning yang melambangkan kedaulatan tetap diterapkan pada bahagian kolar bagi melengkapkan kombinasi warna tradisi negeri Selangor,” kata SFC.

Selain jersi ketiga, SFC juga memperkenalkan jersi edisi khas dengan elemen paling utamanya adalah rekaan selempang diRaja Selangor yang berwarna merah kuning yang menghiasi bahagian hadapan jersi tersebut.

Lebih menarik, jersi edisi khas ini terhad kepada 1,936 helai sahaja dan dijual dalam satu set yang turut mengandungi item eksklusif seperti beg pakaian, penyangkut baju yang berukirkan logo SFC, pemegang sijil berserta sijil yang mempunyai nombor bersiri unik bagi setiap helai jersi.

“Setiap helai jersi hadir dengan pelekat holografik emas yang mempunyai nombor siri yang sama dengan sijil bagi tujuan pengesahan ketulenan dan nombor siri produk terbabit.

“Set nombor 85 yang berwarna emas bersempena ulang tahun ke-85 pasukan juga dipadankan di bahagian belakang jersi untuk meningkatkan lagi nilai estetika jersi ini selain logo ulang tahun 3D yang berwarna emas turut dilekatkan di bahagian belakang leher,” tambah kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.