Sivasangari tumbangkan pemain nombor 10 dunia

Kuala Lumpur: Pemain skuasy negara S Sivasangari mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan pemain nombor 10 dunia, Tesni Evans dari Wales 3-2 pada pusingan kedua Terbuka Antarabangsa El Gouna 2021 di Mesir.

Pemain ranking nombor 36 dunia itu, mencatatkan kemenangan 11-4, 5-11, 4-11, 11-5, 11-6 untuk melangkah ke pusingan ketiga.

Pemain berusia 22 tahun yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, bagaimanapun bakal menghadapi cabaran getir apabila dijadualkan bertemu pemain nombor dua dunia, Nouran Gohar dari Mesir esok.

“Saya bermain dengan baik pada set pertama, saya sangat bersedia dan selesa. Tetapi pada set kedua dan ketiga saya banyak melakukan kesilapan. Dia tidak menang tapi saya hanya memberikannya mata dan ia sangat mengecewakan.

“Pada perlawanan keempat, saya beritahu diri saya, saya ada kekuatan, jadi saya terus bermain walaupun ada peluang untuk menyerang. Ia berhasil, kemenangan yang baik, saya gembira dapat kembali,” katanya.

Rekod pemain kelahiran Kedah itu agak baik di Mesir apabila dia mencipta kemenangan pertama ke atas pemain pada kedudukan 10 teratas dunia, dengan menewaskan Amanda Sobhy pada Kejuaraan Dunia Wanita, Oktober 2019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.