Syarikat Malaysia perlu cegah pencemaran

[email protected]

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia perlu membangunkan strategi hijau yang mantap bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan penggunaan sumber dalam menjamin kelestarian alam sekitar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pengurangan perubahan iklim dan pencegahan pencemaran menjadi semakin penting berikutan perniagaan terus mencari lesen sosial untuk beroperasi.

Justeru, beliau berkata, lebih banyak industri di dunia kini memberi perhatian untuk menjadi lebih mampan dari segi alam sekitar, cekap sumber dan semakin menunjukkan komitmen mereka terhadap matlamat Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), sejajar dengan masa depan yang lebih lestari.

“Dengan menyelaraskan cara kita menjalankan perniagaan untuk memenuhi kehendak rakan dagang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Paris Accord, saya yakin peluang yang lebih terbentang dan nilai yang lebih besar direalisasikan untuk Malaysia.

“Oleh itu, perniagaan mesti menerapkan agenda hijau dengan melaksanakan pendekatan ‘ekonomi kitaran’ dan amalan penggunaan dan pengeluaran lestari (SCP) di seluruh rantaian nilai.

“Ini akan mewujudkan limpahan dan pengganda ekonomi kepada sektor berdekatan, menarik aliran masuk modal, dan pelaburan untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada webinar anjuran Climate Governance Malaysia bertajuk ‘Climate And Sustainability Ambitions Of Our Trading Partners’, hari ini.

Mustapa berkata, kerajaan juga baru-baru ini melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan selanjutnya Dasar Tenaga Nasional.

Beliau berkata, Dasar Tenaga Nasional akan memandu perancangan dan pembangunan sektor tenaga negara berikutan peralihan ke arah rendah karbon.

Katanya, dasar itu bersama dengan rancangan tindakan holistik akan memperkasa dan mengukuhkan ekosistem perdagangan negara.

“Dengan matlamat menjadi negara neutral karbon pada masa depan, keutamaan akan diberikan pada rendah karbon dan pembangunan ekonomi yang berdaya tahan iklim, serta pemuliharaan sumber semula jadi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.