Tiada ‘Little Napoleon’ dalam lantikan KP JAKOA, kata kementerian

Kementerian Pembangunan Luar Bandar berkata isu penjawat awam melantik pengganti Ketua Pengarah JAKOA tidak benar kerana setakat ini proses perbincangan dan penelitian masih berjalan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menafikan dakwaan wujud “Little Napoleon” dalam kalangan pegawainya yang mahu melantik individu bukan berketurunan Orang Asli sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang baharu.

Kementerian itu dalam kenyataan menjelaskan, mereka sedang mengenal pasti calon bersesuaian untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Juli Edo menamatkan kontrak April lalu.

“Oleh yang demikian, isu penjawat awam melantik pengganti ketua pengarah adalah tidak benar kerana setakat ini proses perbincangan dan penelitian masih berjalan.

“Pencalonan Ketua Pengarah JAKOA dijalankan mengikut prosedur ditetapkan bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, seperti termaktub dalam Seksyen 5, Akta 134, Akta Orang Asli 1954,” menurut kenyataan itu.

KPLB berkata, masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi pilihan utama untuk dicalonkan sebagai ketua pengarah selaras Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (5)(C) untuk melantik Orang Asli daripada jawatan bersesuaian dalam perkhidmatan awam.

Katanya, pemilihan calon tidak dibuat secara rawak tetapi berdasarkan kepakaran, termasuk pengalaman luas dan mahir dalam aspek pentadbiran jabatan, pengurusan kewangan, pengurusan projek pembangunan dan sosio-ekonomi serta mempunyai jaringan kerjasama yang erat antara jabatan di peringkat persekutuan, negeri mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

“Di kesempatan ini, KPLB turut menyatakan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, NGO serta individu yang terus prihatin dengan masyarakat Orang Asli.

“Pandangan dan bantuan disalurkan oleh semua pihak dapat membantu kementerian dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, mendakwa terdapat gerakan oleh pegawai KPLB untuk melantik individu bukan berketurunan Orang Asli sebagai Ketua Pengarah JAKOA yang baharu selepas penyandangnya, Juli Edo menamatkan kontrak pada April lalu.

Ramli berkata, jawatan Ketua Pengarah JAKOA pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk disandang oleh rakyat berketurunan Orang Asli Semenanjung yang berkelayakan.

“Telah sampai maklumat ke pengetahuan saya bahawa ada gerakan oleh pegawai dalam KPLB sedang mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak disandang oleh rakyat berketurunan Orang Asli Semenanjung,” katanya.

Katanya, beliau sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli di Parlimen yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun Malaysia merdeka mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan “Little Napolean”, birokrasi kerajaan dalam kementerian.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.