Tidak wajar paksa majikan tanggung kos vaksin COVID-19

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pengusaha kilang atau mana-mana majikan sektor lain tidak wajar dipaksa untuk menanggung kos pembelian vaksin COVID-19 untuk pelaksanaan imunisasi pekerja tempatan dan warga asing mereka.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata sebaliknya kerajaan boleh mempermudahkan mana-mana majikan yang secara sukarela mahu menanggung kos vaksin pekerja mereka, seperti dilaksanakan di Selangor.

Katanya, ia berikutan kebanyakan majikan swasta sudah diwajibkan membayar pelbagai cukai, dan kerajaan seharusnya membantu majikan mengurangkan kos, khususnya dalam waktu yang mencabar ketika ini.

“Bila Kerajaan Selangor mengumumkan syarikat swasta boleh membeli vaksin dari kerajaan negeri melalui permohonan dalam talian SELANGKAH, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada syarikat swasta di Selangor.

“Ini membuktikan ramai majikan sektor swasta sanggup secara sukarela menanggung kos vaksinasi untuk pekerja bagi mengurangkan risiko mereka dijangkiti COVID-19.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa apa yang berlaku di Selangor adalah secara sukarela dan tidak ada paksaan dikenakan ke atas syarikat untuk memohon pembelian vaksin berkenaan.

“MEF berpendapat, sama ada syarikat harus membayar untuk vaksin pekerja masing-masing perlulah secara sukarela, dan majikan hendaklah tidak dipaksa berbuat demikian.

“MEF difahamkan kos untuk dua dos vaksin yang dibeli daripada Kerajaan Selangor adalah sekitar RM380 untuk setiap dua dos, dan bukannya RM41.40 untuk dua dos seperti dilaporkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas saranan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mencadangkan kerajaan mendapatkan bantuan pengusaha kilang seluruh negara untuk menanggung kos pembelian vaksin COVID-19 bagi pelaksanaan program imunisasi, terutama dalam kalangan pekerja asing mereka.

Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd Husni Abdullah, dilaporkan menganggap langkah itu sebagai situasi menang-menang antara kerajaan dan pengusaha sektor perindustrian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak dilaksanakan.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, turut berkongsi pandangan sama dan berharap pihak majikan sektor tertentu tidak diwajibkan menanggung kos imunisasi pekerja mereka.

Jika perkara itu diwajibkan, katanya MTUC khuatir ada majikan yang akan mengambil kesempatan mengenakan kos itu kepada pekerja, sekali gus membebankan golongan pekerja.

“MTUC alu-alukan jika ada majikan, khususnya syarikat multinasional yang berkemampuan dalam sektor kritikal seperti pembuatan, mahu menanggung kos vaksin bagi melindungi pekerja dan mengelak penularan wabak di tempat kerja.

“Namun, kita bimbang jika ia diwajibkan, golongan pekerja yang jadi mangsa. Kita bimbang ada majikan yang tidak berkemampuan kenakan caj pada pekerja jika diwajibkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membantu dan mempermudahkan mana-mana syarikat yang mahu membeli vaksin untuk pekerja mereka secara sukarela, sekali gus akan mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Namun, majikan yang sukarela ini tak boleh paksa pekerja terima vaksin. Dapatkan jumlah pekerja setuju untuk terima vaksin dan tempah mengikut jumlah pekerja yang mahu sahaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.