Top Glove terus catat untung luar biasa

[email protected]

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) merekodkan keuntungan bersih melebihi lima kali ganda kepada RM2.064 bilion bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2021 daripada RM350 juta yang diraih bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu dalam satu kenyataan berkata, prestasi positif dicapai menerusi lonjakan ketara pendapatan jualannya kepada RM4.16 bilion pada suku dikaji, meningkat 147 peratus daripada RM1.69 bilion tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2021, Top Glove merekodkan untung bersih lebih 11 kali ganda kepada RM7.35 bilion daripada hanya RM577.8 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Berbanding sembilan bulan tahun kewangan 2020, pendapatan syarikat bagi tahun kewangan 2021 juga melonjak kepada RM14.29 bilion, meningkat 246 peratus daripada hanya RM4.13 bilion.

Bagaimanapun, bagi tempoh suku ke suku, pendapatan jualan dan untung bersih Top Glove menyusut masing-masing kepada 22 dan 29 peratus disebabkan penyesuaian terhadap harga jualan purata (ASP) selaras dengan trend harga pasaran sarung tangan yang telah memuncak pada Februari 2021.

Top Glove menjelaskan, bagi suku dikaji, jumlah jualan merosot empat peratus suku ke suku disebabkan penurunan di pasaran Amerika Syarikat (AS), berikutan penggantungan sementara penghantaran ke AS dari Malaysia selaras dengan mematuhi syarat Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).

“Bagaimanapun, permintaan sarung tangan global tetap berdaya tahan kerana penggunaan sarung tangan terus meningkat, didorong oleh pandemik yang berterusan,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow, berkata syarikat itu berjaya meraih keputusan baik meskipun menghadapi persekitaran mencabar.

“Keputusan kewangan suku ketiga tahun kewangan 2021 adalah lebih rendah disebabkan oleh penurunan ASP sejajar dengan trend harga pasaran sarung tangan, serta kesan penjualan sarung tangan dari Malaysia ke AS.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan CBP AS untuk menyelesaikannya isu dengan cepat,” katanya.

Bagi menghargai kira-kira 127,000 pemegang saham awamnya, jumlah pembayaran dividen bagi suku ketiga adalah 71 peratus, merangkumi pembayaran dividen khas 21 peratus, ditambah 50 peratus mengikut dasar dividen kumpulan.

Ini menjadikan jumlah dividen adalah 18 sen sesaham.

Tarikh keluaran bagi dividen adalah 23 Jun 2021, manakala tarikh pembayaran adalah 7 Julai 2021.

Sementara itu, Kim Meow berkata, Top Glove akan terus bekerja keras untuk memenuhi permintaan sarung tangan global yang semakin meningkat, yang dianggarkan berkembang dari sebelum pandemik sekitar 10 peratus setahun hingga sekitar 15 peratus setahun pasca COVID-19.

“Untuk itu, strategi kumpulan akan merangkumi gabungan pengembangan organik, pengembangan bukan organik dan pelaburan strategik.

“Top Glove juga berbesar hati untuk dimasukkan ke dalam senarai Forbes Global 2000 bagi tahun 2021. Kumpulan membuat penampilan pada kedudukan ke-1,448 dan akan berusaha untuk meningkatkannya di masa hadapan,” katanya.

Menjelang 31 Disember 2024, Top Glove menganggarkan mempunyai sejumlah 60 kilang yang terdiri daripada 47 kilang sarung tangan dan 13 kilang lain, 1,512 barisan pengeluaran sarung tangan dan kapasiti pengeluaran sarung tangan sebanyak 205 bilion keping sarung tangan setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.