Wakaf kenderaan ganti van jenazah uzur 

[email protected]

Kota Kinabalu: Berkat kesungguhan menyediakan bantuan perkhidmatan van jenazah percuma, Persatuan Amal dan Jariah Sabah menerima sumbangan sebuah van daripada individu yang prihatin terhadap keperluan pasukan amal berkenaan.

Pengasasnya, Masrul Guding berkata, penyumbang terbabit simpati melihat pasukan amal atau lebih dikenali sebagai Team Amal yang berpusat di Kota Kinabalu itu kerana menggunakan van lama dan uzur untuk melaksanakan kerja fardu kifayah.

Katanya, individu terbabit bersama keluarganya dan sebuah syarikat sewa kenderaan bekerjasama mendapatkan sebuah van yang lebih baik untuk memudahkan operasi pasukan amal yang ditubuhkan pada tahun lalu itu beroperasi.

“Penyumbang tertarik membantu Team Amal disebabkan rasa kasihan dan risau melihat kami bergerak ke luar kawasan Kota Kinabalu dengan menggunakan van lama. Jadi dia mewakafkan van miliknya kepada Team Amal,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Perkhidmatan van percuma itu diwujudkan sejak tahun lalu dengan menggunakan dua van lama yang dibaik pulih dan diubah suai sebagai kenderaan jenazah.

Masrul berkata, disebabkan banyak bergerak dan keadaan van sudah uzur, ada ketikanya kenderaan berkenaan tidak dapat digunakan selain rosak di tengah jalan hingga menjejaskan operasi mereka.

“Sebenarnya, kami ada mewujudkan tabung untuk mengutip sumbangan orang ramai yang sudi menderma untuk membeli van baharu yang lebih baik.

“Namun, jumlah yang dikumpul belum mencukupi sebelum kami dihubungi oleh penyumbang yang mahu mewakafkan sebuah van kepada Persatuan Amal dan Jariah Sabah.

“Kami rasa bersyukur dan sangat berterima kasih kepada keluarga ini kerana prihatin terhadap Team Amal sehingga sanggup mewakafkan hartanya ke jalan Allah SWT,” katanya.

Berikutan itu, katanya tabung kutipan sumbangan orang ramai dihentikan manakala wang yang sudah dikumpul akan digunakan untuk menampung kos operasi pasukan.

Mengulas mengenai operasi pasukan, Masrul berkata, sejak Januari lalu sudah lebih 40 jenazah, termasuk tiga jenazah kes Covid-19 dikendalikan pasukannya.

Perkhidmatan van jenazah percuma itu beroperasi dari Kota Kinabalu atau daerah berhampiran seperti Putatan ke mana-mana destinasi di seluruh Sabah dengan mengambil contoh Team Abam Botak yang beroperasi di Sandakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.