284 lokasi seluruh negara disanitasi besar-besaran

KUALA LUMPUR: Sebanyak 284 lokasi di seluruh negara disanitasi secara besar-besaran selama dua hari bermula hari ini, susulan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata operasi itu satu inisiatif kementeriannya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain turut memfokuskan operasi di Selangor yang terus mencatatkan kes harian tertinggi.

“Tindakan lebih agresif harus diambil melalui operasi sanitasi awam ini termasuk kawasan perumahan, pasar dan sebagainya.

“Memandangkan Selangor menjadi tempat punca ekonomi negara kita, (operasi) ini satu usaha yang kita harapkan dapat memberi kesan mengurangkan penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya selepas meninjau operasi sanitasi JBPM di satu daripada lokaliti zon merah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, bermula Mac tahun lalu hingga hari ini, sebanyak 25,252 operasi sanitasi dilaksanakan merangkumi 156 zon iaitu 120 zon merah, 14 zon jingga, 15 zon kuning dan tujuh zon hijau mengikut pengkelasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Zuraida berkata, setakat semalam, seramai 2,702 pegawai bomba menjalani saringan COVID-19 dengan 16 pegawai disahkan positif wabak COVID-19, manakala 96 pegawai dikategorikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI), 89 pegawai di bawah pesakit dalam pengawasan (PUS) dan seorang pegawai meninggal dunia akibat wabak itu. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.