Bukan masalah besar – Choong Hann

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tidak menganggap kekurangan kejohanan bagi pemain yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan sebagai masalah besar.

Semalam, saingan Terbuka Singapura yang dijadual pada 1 hingga 6 Jun ini dan menjadi kejohanan terakhir menawarkan mata kelayakan ke Tokyo dibatalkan kerana peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia.

Sebelum ini, Terbuka Malaysia yang dijadual dari 25 hingga 30 Mei ditunda selepas kerajaan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi Choong Hann, pemain sudah mempunyai pengalaman bagi menghadapi keadaan semasa yang sememangnya di luar kawalan semua.

“Secara peribadi saya merasakan ia (tiada kejohanan sebelum Olimpik) bukan masalah besar dan pemain pun sudah ada pengalaman melalui situasi seperti ini apabila berlaku perubahan pada saat-saat akhir.

“Lagipun, pemain kita sudah beraksi dalam kejohanan di Eropah dan di Thailand pada awal tahun ini.

“Kalau kata lama sudah tidak bermain dalam kejohanan tetapi tidaklah sehingga setahun. Sekurang-kurangnya kita sudah bermain dalam kejohanan sebelum ini.

“Saya percaya dengan pakej ini ia lebih baik berbanding ada negara lain yang tidak pernah bermain langsung atau bermain di Thailand sahaja. Jadi, kita berada dalam posisi yang lebih tenang,” katanya kepada BH Sukan.

Pemain utama negara yang akan beraksi di Olimpik Tokyo seperti jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean sempat beraksi dalam tiga kejohanan di Thailand. – Yonex Terbuka Thailand, Toyota Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia Akhir BWF pada Januari lalu.

Mereka turut beraksi pada saingan Terbuka Switzerland pada Mac lalu.

Bagaimanapun, hanya Zii Jia yang menyertai saingan Seluruh England selepas itu yang menyaksikan dia muncul juara manakala Aaron-Wooi Yik dan Mei Kuan-Meng Yean tidak mengambil bahagian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.