Cools belum pasti diturunkan jumpa UAE

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pemain baharu Harimau Malaya, Dion Cools masih belum pasti diturunkan sebagai kesebelasan utama berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, tengah malam Jumaat ini.

Justeru, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan dia dan barisan kejurulatihan akan memantau perkembangan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium itu sepanjang tempoh latihan sebelum berdepan UAE.

Mengakui Cools mungkin akan diberi tugas selaku pertahanan tengah, Cheng Hoe memahami bukan mudah untuk pemain itu mendapat keserasian dalam tempoh singkat terutama selepas dia hanya secara rasmi menyertai skuad Harimau Malaya buat kali pertama, hari ini.

“Kita harap dia boleh dapatkan persefahaman secepat mungkin termasuk dengan cara permainan skuad Harimau Malaya dan cuaca yang berbeza. Apa yang penting kami barisan jurulatih sentiasa positif dengan kehadiran Cools dalam skuad kebangsaan kali ini.

“Saya tidak boleh maklumkan peratusan (Cools akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang UAE), tapi kita akan memantau lagi dalam satu atau dua hari latihan. Kita tidak boleh terlalu bagi tekanan yang tinggi kepada dia kerana dia baru kali pertama sertai pasukan kebangsaan.

“Kami barisan jurulatih sudah pasti akan bagi tugasan atau kerja rumah untuk dia buat termasuk dengan menunjukkan video mengenai cara permainan pasukan dan pergerakan taktikal.

“Memang kalau kita lihat pengalaman dia bermain di Liga Belgium, Liga Denmark dan Liga Juara-Juara memang memberi dia kelebihan untuk bermain dalam kesebelasan utama.

“Saya masih yakin pengalaman itu boleh bantu dia untuk perlawanan penting menentang UAE dan kita juga tidak boleh membuat kesilapan besar yang boleh mengundang keputusan negatif,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Selepas UAE, skuad Harimau Malaya perlu mengharungi dua lagi baki aksi kelayakan berdepan Vietnam di Stadium Al Maktoum pada 12 Jun dan menentang Thailand di gelanggang sama,16 Jun.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan hari ini menyifatkan kehadiran Cools dapat memberikan nilai tambah dan memperkasakan lagi skuad Harimau Malaya.

“Harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia terutama penyokong setia Harimau Malaya, doakan pasukan kita beroleh kejayaan,” kata Hamidin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.