CUEPACS jamin penjawat awam kekal produktiviti

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi jaminan penjawat awam akan terus mengekalkan produktiviti pada tahap yang terbaik walaupun kira-kira 750,000 daripada mereka akan mula bekerja dari rumah, esok.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberikan mengikut ketetapan setiap agensi.

“Perkhidmatan penting kepada rakyat akan terus beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa yang telah ditetapkan kerajaan.

“Justeru, rakyat tidak perlu bimbang urusan mereka akan tergendala, berikutan arahan terbaharu oleh kerajaan ketika ini kerana setiap jabatan tidak pernah berhenti berfungsi atau lumpuh dalam menjalankan perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bermula esok, sebanyak 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus kakitangan sektor swasta akan memulakan pelaksanaan atau amalan bekerja dari rumah seperti yang ditetapkan oleh kerajaan melalui SOP baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Arahan itu adalah salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan pergerakan dan aktiviti rakyat di luar rumah sekali gus mengekang penularan COVID-19.

Sementara itu, Adnan berharap masyarakat tidak mempunyai persepsi buruk kepada penjawat awam kerana pelaksanaan bekerja dari rumah adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang secara jelas memperincikan aspek perlu dipatuhi.

Beliau berkata, setelah lebih setahun negara melaksanakan PKP, CUEPACS yakin penjawat awam tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan bekerja dari rumah.

Katanya, penjawat awam wajib menunjukkan contoh yang terbaik dalam mematuhi dasar yang diarahkan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“CUEPACS berharap penjawat awam mematuhi arahan PKP dan peraturan semasa berkaitan bekerja dari rumah. Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada arahan bekerja dari rumah akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan semasa perkhidmatan awam.

“Penjawat awam tidak boleh berkompromi mengenai produktiviti masing-masing semasa bekerja dari rumah kerana kita adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.