Shah Alam: Penurunan jumlah penumpang pengangkutan awam menunjukkan penduduk di sini, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk bekerja dari rumah (BDR) sepanjang sekatan pergerakan penuh.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, malah, kebanyakan pengangkutan awam seperti komuter dan bas hanya dinaiki penumpang bekerja dengan surat kebenaran sahaja.
“Berdasarkan pemantauan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), jumlah penumpang boleh dikatakan amat kurang berbanding hari biasa iaitu sebelum PKP… antara 5 ke 10 peratus sahaja.
“Ini menandakan masyarakat Shah Alam mematuhi sepenuhnya PKP 3.0 (apa yang saya maksudkan adalah BDR).
“Bagi sektor pengangkutan awam, hanya dibenarkan 50 peratus sahaja dibenarkan berada dalam setiap gerabak dan hari ini, begitu kurang sekali, ada gerabak tiada penumpang langsung, ada yang satu dua penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika Operasi Pematuhan PKP 3.0 bagi pengangkutan awam di Stesen Komuter Seksyen 19, di sini hari ini.
Beliau turut membawa pengamal media menaiki komuter dari stesen Seksyen 19 ke stesen komuter Padang Jawa untuk melihat sendiri jumlah penumpang di dalam pengangkutan awam itu.
Baharudin berkata, dari segi pemantauan pula, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak KTMB dari pelbagai sudut bagi mendapatkan maklumat semasa ke semasa.
“Saya boleh katakan dua hingga tiga pemantauan dibuat setiap hari oleh pasukan saya, tidak kira komuter atau pengangkutan awam lain seperti bas dan setakat ini tiada kompaun dikeluarkan.
“Tiada anggota ditempatkan dalam pengangkutan awam kerana kita lebih kepada pendekatan pemeriksaan secara mengejut.
“Pemeriksaan lebih terperinci dibuat oleh pihak komuter iaitu polis bantuan komuter khususnya waktu pagi, ketika penumpang ke tempat kerja dan petang, penumpang pulang dari kerja.
Seorang penumpang yang tinggal di Klang dan bekerja di Kuala Lumpur, Nurul Shahida Shahrin, 26, mengakui, sepanjang tempoh ini hanya ada satu dua penumpang sahaja dalam gerabak.
“Pada sebelah pagi, hampir tiada penumpang mungkin waktu kerja berbeza dengan saya tetapi petang ada sekitar 40 peratus, mungkin waktu pula sama,” katanya yang ditemui dalam komuter laluan Pelabuhan Klang menghala ke Kuala Lumpur.
Bagi Syahira Rahman, 28, yang bekerja di sektor perkhidmatan penghantaran di Pelabuhan Klang pula, hanya 30 peratus yang menggunakan komuter di laluan dia berulang-alik dari rumah di Seksyen 19 ke Pelabuhan Klang.
“Saya bekerja enam hari seminggu, apa yang saya lihat penumpang kurang sehingga 70 peratus berbanding sebelum PKP yang menaiki komuter laluan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Harian Metro