‘Goldenboy’ buru kejuaraan UBO Inter-Continental

[email protected]

Seremban: Petinju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi bertekad untuk merebut Kejuaraan UBO Inter-Continental 2021, yang akan berlangsung di Jakarta Indonesia, 21 Ogos depan.

Biarpun persiapan latihannya sedikit terganggu kerana kekangan akibat pandemik Covid-19 melanda negara, namun bekas pemenang pingat perak kategori light heavy 81 kilogram (kg) Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, ini yakin akan kemampuan serta prestasinya untuk memburu kejuaraan berkenaan.

Namun, dia akui bakal berhadapan pencabar terkuat dari tuan rumah, Robert Kopa dengan rekod 14-9-3 bagi merebut kejuaraan berkenaan.

“Ketika ini, saya dalam fasa mempersiapkan diri untuk menentang Robert Kopa, yang dianggap pencabar terkuat pada kejuaraan yang akan berlangsung di Jakarta, Ogos nanti.

“Walaupun persiapan sedikit terganggu, namun saya merasakan ini adalah peluang untuk melakukan persembahan terbaik selepas hampir dua tahun tidak beraksi akibat Covid 19.

“Tambahan pula, satu kejohanan di Dubai yang sepatutnya berlangsung baru-baru ini juga dibatalkan berikutan salah seorang peserta dijangkiti Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Adli Hafidz berkata, dia kini beraksi dalam kategori yang baharu iaitu Middleweight 72.6 kg berbanding sebelum ini dalam kelas super 76.2 kg.

Bekas juara WBC Asia Silver dan WBA Asia South itu berkata, tiada masalah untuk dia menurunkan berat badan namun cabaran utama apabila berjauhan dengan jurulatih yang berada di Singapura.

“Saya terpaksa berlatih sendirian sementara menanti Covid-19 berakhir, namun ia tidak menjejaskan keseluruhan persiapan menghadapi kejuaraan di Jakarta itu nanti.

“Pertarungan ini penting sebagai asas persiapan dan mengukur tahap prestasi saya,” katanya.

Namun, dia menyedari biarpun memiliki kelebihan fizikal tetapi ia bukan satu jaminan untuk mendominasi gelanggang.

“Saya akui antara petinju tertinggi dalam kategori ini selepas berjaya menurunkan berat badan, tapi ia bukan suatu jaminan mudah untuk menang.

“Namun, saya akan menggunakan kelebihan itu dan pengalaman di pentas antarabangsa untuk menewaskan lawan,” katanya.

Petinju yang bergelar ‘Goldenboy’ ini akui perlu menang kejuaraan itu untuk membolehkannya mengumpul mata bagi merebut Kejuaraan Dunia Pertubuhan Tinju Antarabangsa (UBO) yang akan diadakan tahun hadapan.

“Saya berharap misi kali ini tercapai dengan menewaskan Robert Kopa,” katanya yang bertugas sebagai penguasa kastam di Menara Kastam Johor Bahru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.