‘Jaga maruah diri, jangan mudah kongsi gambar lucah’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai tidak terpedaya dengan helah sindiket dan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan alasan kasih sayang melalui media sosial untuk mendapatkan video dan gambar lucah.

Taktik itu sebenarnya adalah helah untuk suspek melakukan pemerasan selepas mempunyai video dan gambar lucah mangsa yang menjadi sasaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya sudah menerima 21 laporan berhubung aktiviti pemerasan video dan gambar lucah sejak Januari lalu.

“Daripada jumlah itu terdapat dua kes sudah dituduh di mahkamah manakala 19 lagi masih dalam siasatan. Seramai 12 daripada mangsa kes berkenaan juga didapati sudah membuat pembayaran kepada suspek sehingga mengakibatkan kerugian RM33,788.88,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebahagian besar kes adalah membabitkan sindiket yang memperdaya mangsa di media sosial selain suspek yang terdiri daripada individu dikenali mangsa sendiri termasuk bekas suami dan teman lelaki.

“Siasatan juga mendapati sindiket menggunakan modus operandi dengan memperdaya mangsa tanpa mengira jantina di laman sosial seperti WeChat, Facebook, WhatsApp, MiChat dan lain-lain platform.

“Sindiket ini akan memperdayakan mangsa terutama daripada kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sehingga mereka sanggup berkongsi video dan gambar lucah mereka,” katanya.

Sindiket akan merekod video serta gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut untuk menyebarkan bahan berkenaan. Seterusnya ahli sindiket akan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan sekiranya pembayaran tidak dibuat, gambar dan video lucah itu akan disebar dalam media sosial selain dihantar kepada ahli keluarga dan rakan mangsa.

Justeru polis menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya atau tertipu dengan muslihat sedemikian selain memelihara maruah diri masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.