Kenapa sektor paling banyak jangkitan masih dibuka, soal Najib

Kata Najib Razak, 60% kluster Covid-19 tercetus di kilang dan tapak pembinaan.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak mempersoalkan keputusan kerajaan membenarkan sektor pembinaan dan pembuatan kekal dibuka sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru.

Menurutnya, 60% kluster Covid-19 tercetus di kilang dan tapak pembinaan.

Dalam catatan di Facebook, Najib bertanya sama ada kerajaan hanya mementingkan perniagaan golongan kaya.

Katanya, semua sektor tempatan lain, seperti pelancongan, pendidikan dan perniagaan kecil, diarahkan tutup, tetapi tidak sektor pembinaan dan pembuatan “milik tauke besar atau syarikat asing”.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

“Adakah hanya tauke-tauke besar serta pemilik asing perlu cari makan tapi berjuta-juta orang biasa dari sektor tempatan lain serta keluarga mereka tak perlu makan?” soalnya.

Menyebut pelbagai jenis PKP yang dikuatkuasakan sejak 11 Jan, beliau berkata, sektor pelancongan terutamanya adalah mata pencarian berjuta rakyat, tetapi ia ditutup seiring penutupan sempadan negeri.

Selain itu, sektor hiburan hilang sumber pendapatan selama lima bulan, kata beliau.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berkata, salah satu punca utama peningkatan kes jangkitan di tempat kerja adalah penggantungan peraturan minimum perumahan pekerja sehingga hujung tahun ini.

Setiausaha Agung NUBE J Solomon mendakwa peningkatan mendadak kluster tempat kerja boleh dikaitkan secara langsung dengan keadaan sanitasi dan perumahan pekerja yang buruk.

Pada 22 April, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengumumkan kerajaan bersetuju melonggarkan syarat pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sehingga Disember ini.

Ini susulan permintaan daripada golongan majikan untuk lebih masa diberikan kerana banyak syarikat masih berusaha untuk pulih daripada impak wabak Covid-19.

Semalam, Bernama melaporkan Saravanan menafikan penguatkuasaan ditangguhkan.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Laporan yang mengatakan peningkatan kluster Covid-19 di tempat kerja adalah akibat penangguhan penguatkuasaan tidak benar dan menimbulkan kekeliruan, katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.