Kertas siasatan Neelofa dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya

[email protected]

SEREMBAN: Kertas siasatan membabitkan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Nor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang didakwa merentas negeri, sudah di peringkat akhir.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata kertas siasatan terhadap pasangan berkenaan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam, namun dikembalikan semula.

“Kertas siasatan dikembalikan semula kerana ada beberapa perkara yang perlu diambil tindakan.

“Kita sedang memperkemas kertas siasatan itu sebelum keputusan selanjutnya dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Sarjan Mejar secara medan kepada Sarjan Mat Shah Kassim, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Che Zakaria Othman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK negeri, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak.

Neelofa dan suaminya yang juga dikenali sebagai PU Riz dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila dikatakan merentas negeri dengan mengunjungi premis menjual permaidani di Nilai 3, dekat sini, pada Ahad lalu.

Gambar selebriti dan suaminya itu kemudian tular di media sosial.

Selasa lalu, Neelofa dan PU Riz memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan lanjut mengenai siasatan berkenaan.

“Kes tak besar pun. Cuma langgar SOP. Namun, perkembangan terbaru nanti kita akan maklumkan kepada pihak media,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman menjelaskan bahawa siasatan terhadap pasangan terbabit dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, mereka juga disiasat mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.